KUALA LUMPUR 23 Nov - AmInvest telah melancarkan dana pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) yang keenam, Dana Ekuiti Global Hasil Mampan bagi memenuhi minat pelabur yang semakin meningkat untuk tema berkaitan pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Pelabur boleh mendapat pendedahan ke atas syarikat-syarikat berkualiti tinggi di seluruh dunia yang menyasarkan hasil mampan yang positif serta meraih potensi pulangan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, falsafah pelaburan dana sasaran itu menggunakan SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, rangka kerja yang bertujuan memangkinkan penyampaian keperluan pembangunan mampan utama di peringkat global.
"Kami percaya pelaburan berdasarkan tema ini seperti kemiskinan, ketidaksamaan dan perubahan iklim boleh memberikan bukan sahaja impak bermakna kepada pelabur tetapi pulangan kewangan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dana itu bertujuan menyediakan pertumbuhan modal jangka panjang dengan melabur terutamanya dalam Ekuiti Global Hasil Mampan Columbia Threadneedle (Lux) (dana sasaran).
Portfolio pelaburan dana sasaran akan menumpukan pada lapan tema mampan berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), yang merangkumi pelbagai hasil sosial dan alam sekitar.
Mata wang asas dana ialah dolar Amerika Syarikat (AS). Ia ditawarkan untuk langganan kepada pelabur sofistikated dalam dolar AS, ringgit (RM) dan dalam kelas lindung nilai ringgit pada harga tawaran permulaan masing-masing AS$1 dan RM1 seunit, dalam tempoh tawaran awal sehingga 13 Disember 2022.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AmFunds Management Bhd., Goh Wee Peng berkata, syarikat-syarikat yang mencari penyelesaian untuk memenuhi permintaan yang berubah-ubah ini akan menikmati pertumbuhan unggul, pulangan dan persaingan yang lebih luas dalam jangka panjang. -DagangNews.com








