AME REIT akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada suku ketiga 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AME REIT akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada suku ketiga 2022

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Julai - AME Elite Consortium Bhd. memeterai perjanjian taja jamin dengan I REIT Managers Sdn. Bhd., (anak syarikat milik penuh dan pengurus AME REIT), RHB Trustees Bhd. (pemegang amanah AME REIT) dan Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) bagi penyenaraian AME REIT di Papan Utama Bursa Malaysia. 

 

Ia menyaksikan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 254.8 juta unit mewakili 49% daripada 520 juta unit dalam AME REIT.

 

HLIB akan menaja jamin 18.2 juta unit yang ditawarkan terdiri daripada 10.4 juta untuk orang ramai dan 7.8 juta kepada pengarah dan kakitangan AME Elite dan anak syarikatnya yang layak.

 

Sementara itu, hampir 80 juta unit akan disediakan untuk permohonan pelabur institusi Malaysia dan pelabur terpilih, termasuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

 

Seterusnya sebanyak 156.6 juta unit pula disediakan untuk pemegang saham AME Elite berasaskan 1 unit untuk setiap 5 saham biasa dalam AME Elite pada tarikh kelayakan yang akan diumumkan kemudian.

 

ame reit
Pengerusi dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn. Bhd., Simon Lee Sai Boon (lima dari kiri) dalam majlis menandatangani perjanjian taja jamin dengan Hong Leong Investment Bank Bhd. hari ini.

 

 

Pengerusi dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn. Bhd., Simon Lee Sai Boon berkata, perjanjian taja jamin itu menandakan satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan IPO AME REIT dan selangkah lebih dekat untuk menyenaraikan aset berkaitan industri dan perindustrian.

 

Katanya, ia membolehkan syarikat mencapai sasaran untuk menyempurnakan langkah itu menjelang suku ketiga 2022.

 

"Proses IPO berjalan dengan baik, terbukti dengan pemeteraian 34 perjanjian jual beli antara anak syarikat AME Elite dan Pemegang Amanah RHB, yang bertindak bagi pihak AME REIT, untuk cadangan pengambilalihan 31 hartanah perindustrian dan 3 hartanah berkaitan industri oleh AME REIT daripada anak syarikat jualan AME Elite dengan jumlah pertimbangan RM557 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

AME REIT bersedia untuk menjadi REIT perindustrian Islam yang akan mempunyai portfolio awal sejumlah 31 hartanah perindustrian dengan pajakan/penyewaan berterusan kepada pelbagai syarikat tempatan dan asing, serta 3 asrama pekerja yang kebanyakannya memenuhi keperluan pekerja penyewa taman perindustrian AME Elite.

 

Kebanyakan hartanah perindustrian ini terletak berhampiran taman perindustrian AME Elite di Johor iaitu i-Park@Senai Airport City, i-Park@Indahpura, i-Park@SiLC dan District 6@SiLC.

 

Sementara itu, tiga asrama pekerja itu pula terletak berhampiran i-Park@Senai Airport City dan i-Park@Indahpura. 

 

HLIB merupakan penasihat utama, penaja jamin tunggal dan pengurus bersama dengan RHB Investment Bank bagi penyenaraian AME REIT. - DagangNews.com