KUALA LUMPUR 11 Okt - Bekas peguam negara Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai pengerusi Amanah Raya Bhd (AmanahRaya), berkuat kuasa serta-merta.
AmanahRaya berkata pelantikan Idrus akan membantu meningkatkan prestasi dan keupayaannya sebagai syarikat pemegang amanah utama di negara ini.
“Dengan pengalaman luas beliau, terutamanya dalam bidang perundangan, kami percaya ini akan membawa kumpulan itu ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Idrus memulakan kerjayanya sebagai penolong penggubal undang-undang parlimen di Jabatan Peguam Negara sebelum menjadi penolong pendaftar kanan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya di beberapa jabatan kerajaan sebelum menjadi penasihat undang-undang negeri Terengganu, peguam kanan persekutuan di Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, serta penggubal undang-undang parlimen.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai peguam cara negara pada April 2006 dan menyandang jawatan hakim Mahkamah Rayuan pada September 2014, dan kemudian hakim Mahkamah Persekutuan pada November 2018, sehingga beliau dilantik sebagai AG.
Idrus yang berpengalaman lebih 42 tahun dalam bidang perundangan berkelulusan Sarjana Undang-undang dengan Kepujian dari Universiti Malaya.
Beliau juga adalah abang kepada speaker Dewan Rakyat ke-10, Tan Sri Azhar Azizan Harun. - DagangNews.com








