KUALA LUMPUR 28 April 2023 - Allianz Malaysia Berhad telah melancarkan ‘Be A-Z ready for tomorrow’ sebagai kempen pendidikan untuk membantu rakyat Malaysia dalam menjamin kehidupan persaraan yang mereka impikan.
Menurut syarikat tersebut, kajian yang dilakukan oleh YouGov menunjukkan bahawa hanya 38% rakyat Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk merancang persaraan mereka, manakala kebanyakan sangat bergantung pada mod pasif seperti akaun simpanan dan KWSP.
Oleh itu, kempen tersebut membantu rakyat Malaysia memahami pentingnya perancangan persaraan, dengan fokus mendalam pada perlindungan dan jenis perlindungan insurans yang sangat penting pada setiap peringkat kehidupan untuk persaraan yang baik.
“Allianz Malaysia percaya bahawa perancangan untuk persaraan harus merangkumi perlindungan keseluruhan termasuk perubatan, kemalangan peribadi, perlindungan aset, dan mempunyai sistem sokongan yang baik, selain memiliki simpanan yang mencukupi,“ tambahnya.
Syarikat insurans itu berkata, perlindungan yang mencukupi diperlukan disebabkan kenaikan kos perubatan dan perkara yang tidak dijangka mungkin menjadi pemangkin kepada kemunduran kewangan untuk tahun-tahun keemasan seseorang.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata peraturan umum bahawa seorang pesara memerlukan dua pertiga daripada gaji terakhir mereka untuk bersara dengan selesa.

“Semasa kami mempelajari pasaran, didapati bahawa keutamaan rakyat Malaysia untuk bersara adalah hidup tanpa hutang, memiliki dana mencukupi bagi kecemasan perubatan untuk diri mereka sendiri dan keluarga, di samping mengekalkan gaya hidup pra-persaraan mereka.
Perkara seperti ini sukar dicapai sekiranya individu hanya menggunakan simpanan pasif untuk membiayai tahun keemasan mereka,“ kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Kajian tersebut juga mendapati bahawa mereka yang berhasrat untuk merancang persaraan mereka menerima rancangan perlindungan seperti insurans nyawa dan perubatan.

“Allianz Malaysia melalui perniagaan insurans hayat dan am menawarkan yang terbaik dari kedua-duanya dan telah membuat rangkaian penyelesaian lengkap untuk membantu rakyat Malaysia merealisasikan impian persaraan mereka tanpa rasa risau,“ tambah Sean.
Selain itu, individu yang mempunyai tanggungan juga harus mempertimbangkan rancangan perlindungan yang teguh untuk melindungi keluarga seperti ‘Allianz Prime Cover’ dengan liputan faedah kematian yang tinggi atau meninggalkan legasi dengan pasti kepada orang tersayang dengan Allianz Legacy Plus.
Di samping itu, Allianz Malaysia juga akan memberikan sokongan tambahan kepada pelanggannya melalui Komuniti Allianz We Care, di mana syarikat itu bekerjasama dengan beberapa rakan dari pelbagai sektor seperti penjagaan rumah, farmaseutikal, dan alat perubatan rumah, dalam menawarkan sokongan persaraan lengkap yang diperlukan kepada pelanggan. -DagangNews.com








