Alliance Islamic lancar buku 'Zakat dan Pembiayaan Mikro' bantu usahawan asnaf | DagangNews Skip to main content

Alliance Islamic lancar buku 'Zakat dan Pembiayaan Mikro' bantu usahawan asnaf

KUALA LUMPUR 26 Sept – Alliance Islamic Bank memperkenalkan kaedah pengagihan zakat secara produktif menerusi pembiayaan mikro bagi memperkasakan usahawan mikro asnaf menerusi pelancaran buku bertajuk 'Zakat dan Pembiayaan Mikro' yang pertama di Malaysia.

 

Penerbitan buku itu bertujuan menggalakkan pembangunan saksama dan rangkuman kewangan bagi semua golongan usahawan terutama cabaran yang dihadapi usahawan mikro asnaf untuk mengembangkan perniagaan disebabkan kekangan kewangan dan kurang bimbingan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim kata, bank kini menerokai potensi menggunakan dana sosial Islam seperti zakat untuk membantu komuniti asnaf, terutamanya selepas pandemik COVID-19. 

 

Melalui inisiatif itu, katanya, diharapkan ia dapat membantu masyarakat dan menjana impak sosial yang lebih menyeluruh. 

 

"Buku ini dan Program Pembiayaan Mikro Zakat adalah perintis yang bakal diperkenalkan akan menerajui usaha penggalakkan rangkuman kewangan dengan menyediakan dana yang mudah diakses oleh usahawan mikro asnaf.

 

"Untuk membantu mereka menangani cabaran ini, kami telah menerapkan latihan dan sokongan kelompok sebaya dalam Program Pembiayaan Mikro Zakat perintis bagi memberi mereka peluang untuk mengembangkan perniagaan secara profesional," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Alliance Islamic
Ahli Jawatankuasa Syariah Alliance Islamic Bank, Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil (dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim; Pensyarah Kanan Pusat Kajian Syariah Pusat Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nurul Ilyana Muhd Adnan dan Eksekutif Unit Syariah dan Antarabangsa Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, Muhammad Furqan Abdullah, pada majlis pelancaran buku bertajuk 'Zakat dan Pembiayaan Mikro'.

 

 

Alliance Islamic Bank telah bermuzakarah dengan pelbagai organisasi dan jawatankuasa Islam untuk membincangkan konsep pengagihan zakat secara produktif kepada usahawan mikro asnaf daripada sudut pandangan syariah. 

 

Kajian mendalam telah dilaksanakan dengan kerjasama pakar-pakar bidang termasuk para penyelidik dengan pengkhususan dalam pembiayaan sosial dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

 

Buku ini membincangkan prinsip pengagihan dana zakat kepada usahawan mikro asnaf berasaskan konsep qard (bayaran balik tanpa keuntungan). 

 

Selain daripada konsep pembiayaan mikro sosial berasaskan prinsip Syariah, buku tersebut turut menggariskan bukti dan amalan terdahulu yang dikongsi oleh para ulama serta beberapa pandangan dari sudut perundangan dan falsafah. - DagangNews.com