Alliance Bank diiktiraf sebagai 20 syarikat senarai awam terbaik ASEAN miliki amalan tadbir urus korporat cemerlang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alliance Bank diiktiraf sebagai 20 syarikat senarai awam terbaik ASEAN miliki amalan tadbir urus korporat cemerlang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Alliance Bank diiktiraf sebagai antara '20 Syarikat Senarai Awam Terbaik ASEAN' memiliki amalan tadbir urus korporat yang cemerlang sempena Anugerah 2021 Corporate Governance Scorecard ASEAN (ACGS), baru-baru ini.

 

Proses penilaian merangkumi lima bidang, antaranya hak pemegang saham, layanan saksama terhadap pemegang saham, peranan pemegang kepentingan, pendedahan dan ketelusan serta tanggungjawab lembaga pengarah.

 

Program anugerah ini merupakan inisiatif oleh ASEAN Capital Markets Forum (ACMF) yang terdiri daripada pengawal selia pasaran modal daripada kesemua 10 bidang kuasa ASEAN. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance, Kellee Kam berkata, anugerah yang diterima mencerminkan budaya korporat bank serta penekanan terhadap melakukan tindakan betul dalam semua perkara.

 

“Mengutamakan pemegang kepentingan adalah sebahagian daripada DNA kami yang memandu semua strategi, keputusan dan tindakan kami dalam menyampaikan nilai kepada para pelanggan, pekerja dan komuniti kami. 

 

"Anugerah yang diterima membuktikan kecemerlangan dan profesionalisme kami di Alliance Bank dalam melaksanakan tadbir urus korporat yang sewajarnya dalam semua bidang perniagaan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

alliance
                                              Kellee Kam

 

 

Terdahulu, ACGS diadakan buat pertama kalinya pada tahun 2011 sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan integrasi serantau dan kawasan ASEAN sebagai destinasi kelas aset dan pelaburan.

 

Alliance Bank turut menerima 'ASEAN Asset Class Award' yang diberikan kepada syarikat senarai awam mencapai skor minimum sebanyak 97.5 mata daripada 130 mata maksimum serta anugerah sebagai 'Top 3 PLCs per Country'.

 

Semua anugerah diterima selepas bank dinobatkan sebagai juara 'Excellence Award for Corporate Governance Disclosure' antara syarikat senarai awam Malaysia untuk MSWG-ASEAN Corporate Governance Award 2021 dianjurkan Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG).

 

MWSG merupakan inisiatif kerajaan untuk membuat sebuah badan melindungi kepentingan pemegang saham minoriti dan menjadi wadah untuk disiplin pasaran yang menggalakkan tadbir urus baik dalam kalangan syarikat senarai awam. 

 

Untuk program anugerah tahunan terkini, sebanyak 864 buah syarikat senarai awam Malaysia telah dinilai dan skor CG keseluruhan meningkat daripada 79.28 mata dalam tahun 2020 menjadi 83.58 mata pada 2021 atau peningkatan sebanyak 5.4%. - DagangNews.com