KUALA LUMPUR 17 Nov - Menjelang tempoh perayaan tidak lama lagi, AirAsia bakal menambah penerbangan tambang rendah tambahan, serta penerbangan lewat malam dari Kuala Lumpur dan hab utamanya yang lain ke pelbagai destinasi di seluruh Malaysia, seterusnya membolehkan para tetamu untuk bertemu semula dengan orang tersayang.
AirAsia telah meningkatkan kekerapan penerbangannya secara berterusan serta menyambung semula operasi rangkaian penerbangannya selepas dua tahun berikutan peningkatan permintaan.
Pada tahun ini sahaja, AirAsia telah memperkenalkan semula penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa popular seperti India, Jepun, Kemboja, Korea Selatan, Australia dan banyak lagi serta telah meningkatkan kapasiti penerbangannya secara beransur-ansur bagi memenuhi permintaan.
Bagaimanapun, pemulihannya merupakan satu cabaran bagi AirAsia kerana kebanyakan syarikat penerbangan sedang berdepan dengan kekurangan slot penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di peringkat global bagi mengembalikan operasi semua pesawatnya.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sebagai sebuah syarikat penerbangan untuk semua, pihaknya sentiasa berusaha untuk menawarkan tambang bernilai terbaik terutamanya dalam tempoh seperti ini.
Beliau berkata, musim perayaan merupakan antara salah satu tempoh yang paling sibuk dan matlamat pihaknya adalah untuk menerbangkan orang ramai terbang ke kampung halaman mereka untuk bertemu semula dengan keluarga yang tersayang pada perayaan istimewa ini.
"Oleh itu, kami akan menambah jumlah penerbangan ke dan dari destinasi popular membolehkan semua orang untuk balik kampung dengan tambang yang berpatutan.
"Tidak dinafikan bahawa beberapa tahun kebelakangan ini merupakan masa yang mencabar untuk semua dan walaupun industri pelancongan sudah kembali pulih pada tahun ini, AirAsia tidak dapat mengendalikan penerbangan tambahan berikutan kesan pandemik yang berpanjangan.
"Kami masih dikekang dengan jumlah pesawat yang terhad kerana pesawat kami sedang menjalani pemeriksaan penyelenggaraan mandatori selepas dua tahun tidak membuat penerbangan. Selain itu, ketersediaan hangar MRO yang terhad bermakna proses pemeriksaan ini akan mengambil masa yang lebih lama daripada biasa.
"Kami berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi menyokong para tetamu yang dihargai dan kami sangat bersyukur kerana dapat membawa kembali semua kru penerbangan, dan kami juga kini mengambil kru kabin tambahan untuk menyokong pemulihan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Riad, pihaknya terharu melihat operasi syarikat penerbangan mereka telah kembali pulih secara beransur-ansur, memenuhi peningkatan permintaan, dan menghubungkan lebih ramai tetamu ke pelbagai destinasi yang menakjubkan di Malaysia dan di seluruh Asia, serta membawa pulang lebih ramai orang untuk bertemu keluarga mereka pada musim perayaan.
"Walaupun kami masih dikekang dengan pemulihan semula industri perjalanan udara global, kami ingin meyakinkan para tetamu bahawa mulai bulan hadapan sehingga menjelangnya Tahun Baharu Cina dan Hari Raya, kami akan menambah penerbangan untuk laluan domestik dan antarabangsa, membantu untuk menerbangkan mereka untuk meraikan kedua-dua sambutan itu.
"Kami mengambil kira kesibukan jadual para pelanggan kami, jadi kami akan menambah beberapa penerbangan lewat malam bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada semua. Nantikan promosi dan tawaran kami yang akan datang untuk penerbangan tambahan ini," katanya. - DagangNews.com








