KUALA LUMPUR 2 Jun - AIA Malaysia hari ini melancarkan ekosistem yang dikenali Penyelesaian Kekayaan Menyeluruh (Total Wealth Solution) untuk membantu rakyat Malaysia hidup lebih sihat.
Ekosistem Penyelesaian Kekayaan Menyeluruh direka bagi menyokong rakyat Malaysia di setiap peringkat kehidupan, melalui teras Rancang Sebaiknya (Plan Well), Hidup Sebaiknya (Live Well) dan Lindungi Sebaiknya (Protect Well).
Ia bertujuan memperkasa mereka untuk menerapkan tabiat kewangan yang sihat dan melakukan pelaburan kewangan bijak bagi memenuhi matlamat simpanan jangka panjang mereka.
Penyelesaian Kekayaan Menyeluruh yang baru dilancarkan ini direka bagi melengkapi proposisi Penyelesaian Kesihatan Menyeluruh syarikat berkenaan yang telah dilancarkan pada April 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Ben Ng berkata, beliau tidak menafikan pandemik telah banyak mengubah persepsi masyarakat terhadap kesihatan serta kekayaan, selain percaya kedua-dua perkara itu sama pentingnya demi kehidupan yang baik dan berkualiti.
“Melalui Penyelesaian Kekayaan Menyeluruh, kami ingin membantu para pelanggan untuk Rancang Sebaiknya dengan alat dan penyelesaian perancangan kewangan yang direka khusus bagi membantu mereka mencapai masa depan yang lebih stabil.
"Disebabkan kesihatan adalah kekayaan, kami mahukan pelanggan kami Hidup Sebaiknya melalui program kesihatan unik kami iaitu AIA Vitality, yang mana mereka akan disokong dengan alat, pengetahuan dan motivasi yang betul untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya dalam satu kenyataan.
Penyelesaian Kekayaan Menyeluruh mempunyai rangkaian produk insurans dan takaful yang meluas yang direka bagi memenuhi pelbagai keperluan kewangan termasuk tawaran pelan kekayaan terbaharu yang memberi tumpuan terhadap perancangan masa depan kanak-kanak.

A-Life Wealth Treasure merupakan pelan insurans berkaitan pelaburan komprehensif yang memastikan para ibu bapa mempunyai simpanan jangka panjang yang diperlukan sebagai persediaan untuk masa depan anak-anak mereka.
Pelan tersebut melindungi kanak-kanak daripada hilang upaya menyeluruh dan kekal dan kematian dengan perlindungan minimum sebanyak RM200,000 yang secara automatik akan meningkat dua kali ganda apabila kanak-kanak tersebut berumur 25 tahun.
Pelan itu turut didatangkan dengan manfaat kematian akibat kemalangan untuk ibu bapa serta menawarkan ganjaran kepada ibu bapa apabila mereka membuat simpanan awal untuk anak mereka.
Ia juga merupakan pelan fleksibel yang memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mengeluarkan atau menambah amaun pelaburan berdasarkan keperluan mereka. - DagangNews.com








