Agong alu-alukan usaha bendung ketirisan dana awam, banteras rasuah secara agresif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agong alu-alukan usaha bendung ketirisan dana awam, banteras rasuah secara agresif

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 13 Feb - Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengalu-alukan usaha membendung ketirisan dana awam, selain tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif.

 

Yang di-Pertuan Agong bertitah, ia penting untuk mendepani pelbagai cabaran yang mendatang memandangkan Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka tidak terkecuali menerima tempias cabaran ekonomi global, lapor Berita Harian.

 

Selain itu, titah baginda ia termasuk juga cabaran dari segi ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik serta krisis geopolitik yang membawa kesan kepada rantaian bekalan dan tekanan inflasi yang meningkatkan kos sara hidup.

 

"Bagi mendepani cabaran ini, beta mengalu-alukan usaha untuk membendung isu ketirisan dana awam, termasuk inisiatif untuk mempercepat dan memastikan mekanisme pemberian subsidi bersasar mencapai matlamatnya dengan berkesan.

 

Bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus, beta menghargai komitmen serta tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar," titah baginda.

 

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di sini, hari ini.

 

Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk 2022 dikeluarkan Transparency International (TI) sebelum ini menunjukkan kedudukan Malaysia terus merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara.

 

 

agong
                                    Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

 

 

Skor terkini itu menunjukkan negara jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun 53 yang dicatat pada 2019.

 

Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, menyatakan ia menunjukkan negara menuju ke arah salah dalam memerangi rasuah, mendukung hak asasi manusia dan demokrasi di sektor awam.

 

CPI menggunakan skala di mana 0 dianggap sangat korup dan 100 dianggap sangat bersih. - DagangNews.com