KUALA LUMPUR 10 Mac - Agmo Holdings Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan dua firma untuk mengkaji kemungkinan menyediakan penyelesaian penjagaan kesihatan hibrid bersepadu sehenti hujung ke hujung kepada jemaah haji dan umrah di Arab Saudi.
MOU dengan Mabroor Fintech Holdings Co Ltd dan Heydoc Sdn Bhd (Doc2us) juga untuk meneroka peluang kerjasama yang berpotensi, kata Agmo dalam pemakluman di Bursa Malaysia.
Mabroor, yang berpangkalan di Arab Saudi, ialah syarikat pemegangan pelaburan untuk sekumpulan syarikat yang terlibat terutamanya dalam teknologi kewangan dan perkhidmatan e-dagang.
Doc2us pula ialah penyedia penyelesaian telekesihatan yang berpangkalan di Malaysia. Ia terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan maya, pemantauan jarak jauh, preskripsi elektronik dan perkhidmatan penjagaan kesihatan lain yang berkaitan.

Agmo berkata MOU itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan, aset bersih dan penggearannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023. - DagangNews.com








