Agenda perkasa TVET fokus utama KSM, jadikan sebagai pilihan rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agenda perkasa TVET fokus utama KSM, jadikan sebagai pilihan rakyat

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan - Agenda memartabat dan memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjadi fokus utama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam usaha menjadikan ia sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.

 

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, usaha tersebut seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai pemacu kemajuan negara.

 

Beliau berkata, transformasi dan penjenamaan TVET secara holistik akan dilakukan menerusi suntikan sinergi-sinergi baharu yang berperanan memadamkan stigma negatif terhadap TVET, seterusnya membawa paradigma baharu TVET yang berpotensi menawarkan peluang kerjaya dan pendapatan tinggi pada masa hadapan.

 

"Bersandarkan kepada kepelbagaian program TVET dan kemudahan akses yang ditawarkan ketika ini, TVET menjadi wadah terbaik untuk rakyat Malaysia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan sejajar dengan aspirasi pembelajaran sepanjang hayat. 

 

"TVET berperanan sebagai solusi serampang dua mata kerajaan dalam melahirkan modal insan tempatan berkemahiran dan seterusnya menjadi pelengkap persiapan negara untuk berhadapan dengan transisi populasi menua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Disember 2022 telah membuat keputusan untuk memindahkan fungsi Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) kepada KSM. 

 

Selaras dengan itu, KSM bersedia menggalas peranan tersebut melalui gerak kerja komprehensif dengan sokongan ekosistem TVET inklusif di KSM meliputi agensi kawal selia TVET, penyedia latihan dan pembiaya dana latihan sedia ada serta kerjasama kukuh semua pemegang taruh TVET di pihak kerajaan dan juga swasta.

 

 

ksm
                                                  V Sivakumar

 

 

Tambah Sivakumar, KSM amat mengharapkan komitmen dan percambahan idea yang konstruktif secara berterusan daripada semua pemegang taruh yang terlibat.

 

"Ia bagi memastikan strategi dan inisiatif agenda memartabat dan mempersadakan TVET nasional secara holistik dapat dibangunkan, seterusnya penyelesaian berkaitan isu serta cabaran pelaksanaan TVET dapat dirungkaikan. - DagangNews.com