PUTRAJAYA 22 April - Kerajaan perlu memainkan peranan bersungguh-sungguh dalam menyusun atur segala langkah dalam penggubalan dasar bagi menterjemahkan konsep kesejahteraan agar ia dapat meresap ke dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, ia berikutan sekiranya tumpuan hanya diberikan kepada pembangunan fizikal tanpa menekankan aspek spiritual, apa yang dibimbangi akan wujud kepincangan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan negara.
Beliau berkata, agama merupakan benteng pertahanan jiwa yang menjadi petunjuk dalam memelihara hubungan antara kaum.
"Oleh itu saya berpandangan perbezaan agama bukan suatu halangan untuk bersatu-padu. Malah, Islam sendiri mengangkat nilai kebersamaan dalam kepelbagaian rumpun, bangsa dan budaya.
"Untuk menikmati kesejahteraan dalam sesebuah negara, satu mekanisme ampuh perlu dijadikan landasan," katanya ketika berucap pada Program Townhall dan Pelancaran Buku Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurut Ismail Sabri, beliau mendapati memelihara kemaslahatan merupakan manifestasi kesejahteraan, kerana kemaslahatan itu sendiri merupakan inti pati dalam objektif pensyariatan Islam yang sentiasa disebutkan sebagai pendekatan Maqasid Syariah.
"Dalam satu persidangan anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada September lalu, saya telah menyatakan bahawa Maqasid Syariah perlu dijadikan teras setiap dasar dalam membentuk sesebuah negara adil, sejahtera dan harmoni.
"Hari ini pula, kita diperjelaskan tentang pendekatan Maqasid Syariah dalam tadbir urus Keluarga Malaysia. Dengan mengambil kira Islam sebagai agama Persekutuan, saya berharap setiap Kementerian dan agensi dapat menzahirkan prinsip pemeliharaan maslahah dalam setiap dasar yang digubal.
"Prinsip ini menekankan perkara-perkara universal, sesuai untuk seluruh ahli Keluarga Malaysia yang mendambakan kesejahteraan dan keharmonian antara kaum dan penganut pelbagai agama. Ia tidak mengehadkan amalan dan kepercayaan agama lain, tetapi ia menuntut nilai kebersamaan dalam memelihara hubungan sesama kita," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Buku Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera menekankan aspek tadbir urus yang holistik dan mampan berasaskan syariat Islam dalam memelihara hubungan Keluarga Malaysia.
Beliau berkata, ia juga memandu pembuat dasar untuk memperkukuh kesejahteraan Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan yang diberikan.
Justeru katanya, wajar sekali JAKIM dijadikan pusat rujukan oleh semua Kementerian dan Agensi untuk melaksanakan tadbir urus berasaskan Maqasid Syariah.
"Namun begitu, apa yang diharapkan ialah pendekatan Maqasid Syariah diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan dan dijadikan panduan atau kerangka dalam membangunkan dasar-dasar baharu sambil memperkasa yang sedia ada.
"Sekiranya dasar-dasar tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya, dan kefahaman yang jelas diberikan kepada penjawat awam pada semua peringkat, saya optimis, kesejahteraan yang diimpikan mampu dijiwai oleh seluruh anggota ahli Keluarga Malaysia.
"Saya juga menggalakkan pelaksanaannya di peringkat negeri oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN)," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, aspirasi Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan ahli keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, hidup dalam suasana yang mesra dan harmoni sambil berkongsi tiga nilai utama iaitu ‘Keterangkuman’, ‘Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’.
Beliau berkata, amalan hidup bersama ini telah pun berterusan sejak enam dekad lalu dan perlu dikekalkan malah diperkukuhkan walau apa jua cabaran yang mendatang.
Beliau berkata, sebagai Kerajaan, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan, mencari titik persamaan dalam kepelbagaian.
"Alhamdulillah, kita telah menunjukkan kejayaan yang membanggakan dalam tempoh Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia. Namun, Kerajaan masih belum berpuas hati dan telah bertekad untuk mendepani dua cabaran utama iaitu memerangi pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
"Bagi cabaran pertama, kita telah melaksanakan tanggungjawab, mengukuhkan tadbir urus yang menampakkan hasil apabila negara berjaya memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April.
"Bagi cabaran kedua, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah melalui penstrukturan semula ekonomi dan penyediaan bantuan kewangan dan infrastruktur. Ini adalah usaha kerjasama semua pihak baik di peringkat persekutuan dan peringkat negeri.
Katanya, pengupayaan Keluarga Malaysia perlu mengimbangi kepentingan spiritual dan rohani dengan pembangunan fizikal dan pengukuhan ekonomi.
"Sekiranya tumpuan hanya diberikan kepada pembangunan fizikal tanpa menekankan aspek spiritual, apa yang dibimbangi akan wujud kepincangan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan negara," katanya. - DagangNews.com








