Affin Bank rekod untung bersih RM149 juta bagi 1QFY23 disokong pertumbuhan perniagaan perbankan Islam | DagangNews Skip to main content

Affin Bank rekod untung bersih RM149 juta bagi 1QFY23 disokong pertumbuhan perniagaan perbankan Islam

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Affin Bank Berhad telah merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM149 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), meningkat sedikit pada 4.4% daripada RM143 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan pula telah menyusut 6.5% kepada RM494 juta suku ini daripada RM529 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22).

 

Prestasi kewangan kumpulan itu telah disokong oleh pertumbuhan dalam perniagaan perbankan Islam sebanyak 3.5% kepada RM154.1 juta pada suku semasa.

 

Menurut kumpulan itu, perniagaan tersebut telah didorong oleh pertumbuhan pembiayaan yang kukuh pada 14.3%, di mana Affin Islamic Bank Berhad mencatatkan peningkatan ketara dalam kualiti aset dengan pembiayaan terjejas kasar ditutup pada 0.92% pada 1QFY23 berbanding 1.05% dalam 1QFY22.

 

Affin Bank terus melihat perniagaan berkembang pada 14.3%, seperti yang ditunjukkan dalam portfolio pinjaman dan pembiayaannya yang  mencecah RM61.2 bilion daripada RM53.5 bilion, sementara jumlah aset turut meningkat 12.7% kepada RM94.1 bilion berbanding RM83.5 bilion sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, “Kami meneruskan strategi tiga tahun dengan memberi tumpuan kepada tiga objektif iaitu perkhidmatan pelanggan tiada tandingan, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab dengan impak, dengan matlamat untuk mencapai pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 10% menjelang 2025.”

 

 

Datuk Wan Razly Abdullah
Datuk Wan Razly Abdullah

 

 

Bagi suku semasa, Affin Bank telah mencatat pendapatan faedah bersih (NII) sebanyak RM233.6 juta, meningkat 2% berbanding RM229 juta pada 1QFY22, terutamanya disebabkan oleh asas aset yang lebih tinggi, manakala pendapatan bukan faedah menyusut 29.4% kepada RM106.6 juta daripada RM150.9 juta sebelumnya.

 

Pada 31 Mac 2023, nisbah pinjaman rosot nilai kasar (GIL) kumpulan adalah 1.96% berbanding 2.43% tahun lalu berikutan usaha pemulihan yang lebih kukuh, menyebabkan kos kredit kasar berada pada 3 mata asas pada 1QFY23 berbanding 26 mata asas dalam 1QFY22.

 

“Kumpulan terus mengukuhkan rizabnya seperti yang terbukti dengan peningkatan dalam perlindungan kerugian pinjaman (LLC) dan rizab kerugian pinjaman (LLR) masing-masing pada 120% dan 160%, berbanding LLC sebanyak 74.5% dan LLR sebanyak 130% dalam 1QFY22,” tambahnya.

 

Pada 31 Mac 2023, jumlah pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kumpulan meningkat 14.3% kepada RM61.2 bilion disebabkan pertumbuhan 22.4% dalam segmen perbankan komuniti.

 

Bagi deposit pula, baki akaun simpanan semasa (Casa) berjumlah RM14.7 bilion, menyumbang kepada nisbah Casa sebanyak 22.3%, di mana deposit pelanggan meningkat 5.8% kepada RM65.9 bilion setakat 31 Mac 2023.

 

Nisbah jumlah modal pula pada 18.64%, nisbah modal Tahap 1 pada 15.97% dan nisbah modal Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) pada 14.64%. Nisbah perlindungan kecairan kekal sihat pada 208% pada 1QFY23, jauh melebihi keperluan kawal selia sebanyak 100%. -DagangNews.com