Aeon Credit berkedudukan baik lancar bank digital dalam tempoh 24 bulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeon Credit berkedudukan baik lancar bank digital dalam tempoh 24 bulan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Mei - Aeon Credit Service (M) Bhd. dan rakan konsortiumnya berada dalam kedudukan yang baik untuk melancarkan bank digital dalam tempoh 24 bulan seperti ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM), menurut Kenanga Research.

 

Pada 29 April lalu, konsortium yang terdiri daripada Aeon Credit, Aeon Financial Service Co., Ltd (AFS) dan MoneyLion Inc. menerima lesen perbankan digital bersama 4 lagi konsortium lain. 

 

Menurut penganalisisnya, Clement Chua, dengan penyertaan MoneyLion sebagai rakan kongsi teknologi, pengetahuan dan platform teknologi kewangan (fintech) boleh dibina dan disesuaikan secara tempatan dengan sewajarnya.

 

"Data yang dimiliki Aeon Credit mengenai perbelanjaan pengguna dan tabiat pembayaran balik juga merupakan komponen penting untuk membolehkan bank digital melaksanakan strategi pemasaran disasarkan yang berkesan.

 

"Sementara itu, permohonan dan khusus untuk lesen bank digital Islam itu juga bertepatan kerana produk pembiayaan Aeon Credit sudah mematuhi syariah dan bersedia untuk memenuhi keperluan pasaran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : 5 konsortium raih lesen bank digital BNM, gandingan Boost-RHB tepati ramalan

 

Aeon Credit pada 1 Mei lalu berkata, konsortium tiga pihak itu akan menyaksikan Aeon Credit, AFS dan MoneyLion masing-masing akan mempunyai 45:45:10 peratus kepentingan dalam bank Islam digital yang dicadangkan itu.

 

MLI yang diperbadankan di Delaware, Amerika Syarikat (AS) telah disenaraikan di Bursa Saham New York sejak September 2021. 

 

Aktiviti utamanya ialah perbankan mudah alih di platform keahlian kewangan dan menawarkan penyelesaian perbankan, peminjaman dan pelaburan kepada pelanggannya di AS.

 

Seperti ditetapkan dalam Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital yang dikeluarkan BNM, bank digital Islam itu perlu beroperasi dalam had aset RM3 bilion dan mengekalkan dana modal minimum sebanyak RM100 juta tidak terjejas oleh kerugian semasa fasa asas.

 

Menurut Chua, sejajar dengan inisiatif BNM, usaha akan ditumpukan ke arah menawarkan pembiayaan dengan saiz yang lebih rendah untuk meningkatkan akses dan kemasukan kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

 

Dalam pertemuan dengan pengurusan baru-baru ini, beliau berkata, kumpulan mungkin memperkenalkan harga promosi yang menarik untuk kedua-dua pinjaman dan deposit sementara ia menemui kesesuaian dalam pengurusan kos.

 

"Bagaimanapun, kerugian adalah dijangkakan seperti kebanyakan bank digital dalam tempoh terdekat sehingga mereka mencapai skala yang menguntungkan.

 

"Sehingga itu, obligasi modal didorong oleh dana yang dijana secara dalaman oleh Aeon Credit tanpa penjanaan dana ekuiti yang dijangkakan setakat ini," jelasnya. 

 

Oleh itu, buat masa ini, Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan Aeon Credit bagi tahun kewangan 2023 (FY23) dan FY24.

 

Firma itu juga mengulangi pandangan 'outperform' terhadap Aeon Credit dengan harga sasaran pada RM16.45 sesaham.

 

Setakat 11.01 pagi, harga sahamnya susut 4 sen atau 0.26% kepada RM15.14 dengan 11,600 saham diniagakan. - DagangNews.com