Adenan Md Yusof
KUALA LUMPUR 30 April - Anak syarikat dan bahagian hartanah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu Kwasa Land Sdn. Bhd. melantik Adenan Md Yusof sebagai Pengarah Urusannya, berkuatkuasa 3 Mei 2021.
Adenan akan menggantikan Mohamad Hafiz Kassim yang akan kekal dalam Lembaga Pengarah Kwasa Land, jelas syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Adenan berkata, beliau akan terus menyumbang ke arah pembangunan Kwasa Damansara di bawah bimbingan Pengerusi Kwasa Land, Datuk Mohammed Azlan Hashim dan pasukannya.
“Walaupun pandemik COVID-19 mendatangkan cabaran, namun kami fokus untuk terus bertahan dan berdaya maju, bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan rakan kongsi pembangunan kami, untuk menyampaikan nilai serta menyumbang secara positif dalam pertumbuhan sosio ekonomi negara,” katanya.
Adenan yang membawa bersama-samanya pengalaman dan kepakaran korporat selama 30 tahun, telah mengetuai portfolio utama di sektor kerajaan dan swasta, dengan fokus pada pelaburan hartanah dan perkhidmatan kewangan.
Sementara itu, Mohammed Azlan berkata, Adenan membawa gabungan besar pembangunan dan pengurusan hartanah, serta pengalaman dan pengetahuan pengurusan komersial untuk mendorong Kwasa Damansara menjadi sebuah bandar yang hijau, terhubung dan inklusif. - DagangNews.com








