ADB kekalkan unjuran 6% KDNK Malaysia tahun ini, semak semula pertumbuhan 2023 lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ADB kekalkan unjuran 6% KDNK Malaysia tahun ini, semak semula pertumbuhan 2023 lebih rendah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Sept - The Asian Development Bank (ADB) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini pada 6% tetapi menyemak turun pertumbuhan 2023 kepada 4.7% daripada 5.4% sebelum ini berikutan ketidaktentuan global yang semakin meningkat. 

 

Pertumbuhan lebih perlahan itu disebabkan jangkaan kelembapan dalam peluang eksport dan kenaikan kadar faedah dalam ekonomi maju, khususnya Amerika Syarikat (AS), menurutnya dalam laporan kemaskini Asian Development Outlook (ADO) 2022 bagi September.

 

Namun, bank itu berkata, terdapat dua faktor akan memacu prospek Malaysia dalam tempoh jangka pendek yang didorong oleh permintaan pengguna yang semakin pulih dengan kukuh disokong pembukaan semula pasaran dan sempadan sekali gus menambah baik peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah serta usaha kerajaan meneruskan vaksinasi COVID-19.

 

Setakat Ogos 2022, katanya, sebanyak 84% daripada populasi penduduk di negara sudah divaksinkan sepenuhnya dan hampir 50% menerima dos penggalak pertama. 

 

"Kesemua faktor ini meningkatkan keyakinan pengguna dan perdagangan runcit dengan ketara, membolehkan pemulihan kukuh dalam permintaan pengguna," katanya dalam laporan berkenaan hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Ekonomi Malaysia berkembang 6.9% pada separuh pertama 2022 apabila akttiviti ekonomi dibuka semula setelah sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 semakin berkurangan.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan itu adalah lebih rendah berbanding 7% bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Menurutnya, inflasi dijangka kekal stabil dalam tempoh terdekat berikutan pemberian subsidi oleh kerajaan dan kitaran dasar monetari yang ketat.

 

Pada suku kedua, katanya, inflasi meningkat kepada 2.8% daripada 2.2% pada suku pertama kerana input yang lebih mahal telah diserap dalam pengeluaran.

 

"Kadar inflasi utama diramalkan pada 2.7% tahun ini, lebih rendah berbanding unjuran 3% sebelum ini manakala anggaran kadar inflasi untuk 2023 dikekalkan pada 2.5%," jelasnya. 

 

ADB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengetatkan dasar monetari dengan mengambil kira harga komoditi yang tinggi dan kenaikan berterusan kadar faedah AS.

 

 

gambar hiasan

 

 

Mengenai prospek dagangan Malaysia, ia berkata, walaupun volum eksport boleh menurun berikutan permintaan luar yang lebih lemah, nilai eksport dalam dolar AS sepatutnya bertahan dengan baik dalam tempoh dua tahun akan datang, mencerminkan harga komoditi global yang lebih tinggi.

 

Katanya, jumlah dan nilai import juga akan berkembang pada kadar yang lebih pantas, disokong oleh permintaan pengguna yang memberangsangkan untuk barangan import.

 

"Namun, mungkin terdapat defisit yang lebih kecil bagi dagangan dalam sektor perkhidmatan. Sejak sempanan dibuka 1 April lalu, kira-kira satu juta pelancong antarabangsa tiba ke negara ini -kira-kira separuh daripada sasaran tahun ini.

 

"Oleh itu, kami mengunjurkan lebihan akaun semasa bersamaan 3.5% daripada KDNK pada 2022 dan 3.3% pada 2023, lebih tinggi sedikit daripada ramalan pada April," katanya. 

 

 

MOF

 

 

Bank itu berkata, dasar fiskal akan terus menyokong pertumbuhan pada 2022 dengan defisit fiskal dijangka kira-kira 6% daripada KDNK.

 

Bagi tahun ini, katanya, kerajaan akan meningkatkan perbelanjaan pembangunan untuk menggerakkan pelaburan infrastruktur bagi menggalakkan ketersambungan digital yang lebih kukuh, menambah baik kemudahan penjagaan kesihata, dan meningkatkan kemahiran semula tenaga kerja.

 

Menurutnya, cabaran dasar fiskal ialah ruang fiskal yang dikekang oleh perbelanjaan keutamaan yang besar dan meningkat, asas hasil yang lebih lemah dan hutang yang meningkat.

 

"Untuk menangani cabaran ini, perubahan kepada rangka kerja fiskal telah diperkenalkan, termasuk meningkatkan siling hutang berkanun kepada 65% daripada KDNK, meningkat daripada 60% pada 2020.

 

"Pada tahun depan, kerajaan akan secara beransur-ansur menyatukan komitmen belanjawannya untuk menyokong Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025)," katanya.

 

Bagaimanapun, ADB berkata, terdapat beberapa risiko penurunan yang boleh menjejaskan prospek dalam tempoh terdekat terutamanya pertumbuhan luaran yang lebih lemah di negara ekonomi maju, gangguan berterusan daripada pencerobohan Ukraine dan persekitaran kewangan global yang ketat boleh mempengaruhi momentum pertumbuhan Malaysia. 

 

"Di peringkat domestik pula, keberkesanan vaksin yang lemah kepada varian baharu COVID-19 boleh melihat membawa kembali beberapa tahap sekatan pergerakaan jika tekanan kepada sistem kesihatan negara meningkat," tegasnya. - DagangNews.com