KUALA LUMPUR 17 Feb - Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) menggesa kerajaan mengguna pakai pembelanjawanan hijau (green budgeting) dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula, 24 Februari ini.
Langkah itu dilihat mampu mengenal pasti keutamaan dan pilihan tindakan bagi membolehkan negara mencapai ekonomi yang mampan alam sekitar dan memenuhi komitmennya mendepani perubahan iklim.
Ketua Portfolio ACCA Maritime Asia Tenggara, Andrew Lim melihat bajet tahunan sebagai alat berkuasa bagi sesebuah kerajaan dalam menghadapi perubahan iklim agar tindakan dapat diambil untuk mencapai matlamat neutral karbon menjelang 2050 seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
“Di situ terletaknya kepentingan pembelanjawanan hijau sebagai pendekatan yang menyepadukan perubahan iklim dan pertimbangan alam sekitar ke dalam proses bajet dan membuat keputusan,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Andrew, laporan Professional Insights (PI) bertajuk Pembelanjawanan Hijau: Panduan untuk Profesional Kewangan Sektor Awam terbitan ACCA yang menggariskan asas pembelanjawanan hijau serta memberi tumpuan kepada peranan profesional kewangan dalam mengubah matlamat dan cita-cita menjadi rancangan ketara.
Panduan berguna ini menyediakan langkah praktikal dan mudah yang boleh diguna pakai oleh profesional kewangan untuk melaksanakan pendekatan pembelanjawanan hijau di dalam organisasi.
Organisasi sektor awam di seluruh dunia menggunakan alatan dan kaedah pembelanjawanan hijau dalam pelaksanaan rancangan bagi membantu mereka memenuhi sasaran iklim dan alam sekitar.

"Usaha mereka menunjukkan contoh yang boleh dipelajari oleh negara lain, termasuk Malaysia,” jelas beliau yang ingin negara mencontohi Singapura, London, Kanada, Kenya dan India dalam pelaksanaan tersebut," tambahnya.
Andrew berkata, tiga prinsip perlu dipertimbangkan pada permulaan pelaksanaan iaitu kehendak politik, membina proses sedia ada dan pendekatan keseluruhan sektor awam.
“Sokongan daripada kepimpinan politik kerajaan akan memastikan pendekatan pembelanjawanan hijau berjaya dilakukan.
"Ia juga tidak memerlukan sistem baharu yang mahal atau sokongan luaran yang meluas dan penggubal dasar masih boleh menyelaraskan belanjawan dengan perubahan iklim dan matlamat kemampanan mereka," jelasnya.
Namun, tegas beliau, ia mesti diterima pakai di peringkat sektor awam yang berbeza, justeru, akan membantu kerajaan membangunkan pendekatan yang diselaraskan, membolehkan semua organisasi berkongsi amalan baik dan memberi peluang untuk berinovasi. -DagangNews.com








