20 mahasiswa terima biasiswa sarjana muda PIDM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

20 mahasiswa terima biasiswa sarjana muda PIDM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah menganugerahkan biasiswa kepada 20 mahasiswa terpilih menerusi Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, yang menyediakan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah menekankan kepentingan memupuk potensi generasi akan datang supaya lebih mahir, bertanggungjawab dan inovatif agar bersedia menghadapi sebarang cabaran, serta menyumbang kepada penambahbaikan ekonomi dan negara.

 

“Memperkasakan generasi akan datang menerusi pendidikan adalah komitmen yang dipegang teguh oleh PIDM. Kami yakin dengan sokongan yang betul, mereka akan terus cemerlang dari segi akademik dan memainkan peranan penting dalam memajukan negara dan masyarakat kita.

 

“Setiap penerima biasiswa berpotensi besar dan kami bangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan kehidupan mereka. Kami berharap mereka akan dapat mencapai cita-cita dengan cemerlang, sepertimana yang kita lihat pada graduan biasiswa sebelum ini,” ujar beliau.

 

 

Rafiz Azuan Abdullah
Rafiz Azuan Abdullah ucapannya kepada penerima biasiswa ijazah sarjana PIDM bagi tahun 2023.

 

 

Diperkenalkan pada tahun 2010, PIDM berkata bantuan kewangan menyeluruh tersebut merangkumi yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup dan alat bantuan belajar.

 

Selain bantuan kewangan, PIDM memberi peluang kepada penerima biasiswa untuk mendapatkan bimbingan (mentorship) daripada kakitangannya dan alumni program, serta menawarkan peluang untuk menjalani latihan praktikal di PIDM bagi melengkapkan pengajian mereka.

 

Agensi kerajaan itu mendedahkan bahawa ia telah menerima 1,189 permohonan daripada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi pada tahun ini.

 

Seorang penerima biasiswa itu, Cham Chiao Wen menzahirkan kesyukurannya menerima bantuan kewangan tersebut memandangkan beliau melakukan bebeberapa kerja sambilan bagi membantu menyara keluarganya.

 

Bercita-cita menjadi juruaudit, beliau berkata program bimbingan PIDM memberikannya pandangan, nasihat dan pengetahuan praktikal yang berharga melangkaui apa yang disediakan dalam buku-buku teks.

 

“Ini dapat mempertingkatkan pengalaman pembelajaran serta perkembangan peribadi saya,” ujar gadis dari Sandakan, Sabah itu yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Maklumat lanjut mengenai Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM boleh dilayari di laman web PIDM - DagangNews.com