KUALA LUMPUR 10 Julai – IGB Commercial REIT terus berdaya tahan dengan prestasi operasi kekal kukuh meskipun sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) berdepan cabaran, kata Malacca Securities.
Ujarnya, pemansuhan kadar cukai pegangan tetap (WHT) 10% tidak menjejaskan pertumbuhan hasil kumpulan itu yang disokong peningkatan kadar penghunian serta kadar sewaan disemak semula lebih baik.
Justeru perubahan 'rejim cukai' itu hanya memberi kesan kepada pulangan selepas cukai diterima oleh kelompok pelabur tertentu, dan tidak menjejaskan operasi atau pun pendapatan syarikat REIT tersebut.
"Situasi ini disebabkan struktur yang telus cukai kekal selagi sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan IGB Commercial REIT diagihkan kepada pemegang unit," menurut Malacca Securities dalam analisis.
Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) 70 sen seunit berdasarkan sasaran dividen 6% ke atas unjuran pendapatan seunit (EPU) pertengahan FY27 sebanyak 4.22 sen.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), kumpulan itu meraih hasil RM68.9 juta, naik 10.5%, manakala keuntungan teras selepas cukai (PAT) pula meningkat kira-kira 14.3% kepada RM28.8 juta.

Malacca Securities menambah, pendapatan yang boleh diagihkan oleh IGB Commercial REIT turut bertambah 22.4% kepada RM32.2 juta, membolehkan agihan pendapatan seunit (DPU) sebanyak 1.33 sen.
"Kadar penghunian keseluruhan portfolio naik kepada 92.9%, dengan Mid Valley City mencatatkan peningkatan tertinggi daripada 94.3% kepada kira-kira 96.6%," jelas firma penyelidikan tersebut.
Pada masa sama, kadar sewaan bulanan purata meningkat kepada RM6.60 setiap kaki persegi (kps) berbanding RM6.40 setahun lalu, dengan Mid Valley City juga naik paling tinggi mencecah RM7.10.
Prestasi IGB Commercial REIT ini ujar Malacca Securites, mencerminkan trend penyewa yang cenderung memilih bangunan Gred A dengan pensijilan hijau, lokasi strategik serta rangkaian pengangkutan.
Kumpulan ini juga menjadi REIT pertama di Malaysia memperoleh sijil Green Building Index (GBI) bagi seluruh 10 hartanahnya selain disokong program naik taraf aset seperti sistem cekap tenaga.
"Kami berpandangan, walaupun pemansuhan WHT mengurangkan daya tarikan kepada pelabur berpendapatan tinggi, hasil agihan kasar sekitar 7.5% masih memberikan penampan yang kukuh," tambah firma itu.
Malacca Securities menyifatkan harga unit IGB Commercial REIT kembali menghampiri paras sebelum pengumuman perubahan cukai sebagai bukti pasaran sudah mengambil kira kesan ini. - DagangNews.com








