LAWAS 20 April - Seramai 111 orang pelajar menerima sumbangan pek MYAirportCARES berupa barangan kelengkapan kembali ke sekolah dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM27,000 di Lawas, Sarawak.
Penyampaian sumbangan diketuai Pengurus Lapangan Terbang Miri, Mohd Jauhari Abdullah yang menjaga operasi Padang Terbang atau STOLport Lawas, diadakan di dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Seberang Kuala Lawas baru-baru ini.
Pengerusi Malaysia Airports, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, menerusi peralihan negara ke fasa endemik, pelajar-pelajar dapat kembali ke sekolah secara fizikal setelah mengharungi cabaran pembelajaran dari rumah hampir dua tahun.
"Sumbangan ini sedikit sebanyak memberi keceriaan dan semangat untuk kembali ke sekolah.
"Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, Malaysia Airports selaku pengendali lapangan terbang utama negara amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan komuniti sekeliling," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program yang dikenali sebagai MYAirportsCares itu bertujuan menghulurkan sumbangan kepada pelbagai pihak tidak terhad kepada sumbangan keperluan sekolah sahaja.


Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, ini merupakan kali kelima program dianjurkan dan pengagihan pek ceria kembali ke sekolah yang telah berjaya memberi manfaat hampir 3,610 pelajar secara keseluruhan. - DagangNews.com








