PUTRAJAYA 21 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,000 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) sehingga penghujung tahun 2025.
Ismail Sabri berkata, Fasa 1 BMTKM yang bermula pada bulan ini melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR).
"Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) hari ini membincangkan strategi membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025.
"Pelaksanaan BMTKM menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan," katanya.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 yang berlangsung buat kali pertama bagi tahun 2022 serta turut dihadiri oleh empat Menteri Kanan serta Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat secara dalam talian.
Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat itu juga bersetuju bahawa Ketua Setiausaha semua kementerian melaporkan status perbelanjaan Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) kepada menteri masing-masing pada setiap bulan supaya tindakan segera dapat diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.
Ismail Sabri berkata, DE Asas Tahun 2022 setakat 15 April 2022 adalah pada kadar 18.33%,
Beliau berkata, Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) telah diwujudkan bagi menangani cabaran-cabaran utama dalam pengagihan DE.
"Selaras dengan RMKe-12, Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025. Mesyuarat pada hari ini telah meluluskan rangka kerja untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran tersebut.
"Petunjuk ini merangkumi tiga komponen iaitu kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan. Antaranya termasuklah, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan isirumah, peningkatan daya saing dan produktiviti serta peningkatan sumbangan industri berimpak tinggi kepada ekonomi.
"Selain itu, ia turut meliputi pembasmian kemiskinan tegar, pembangunan negeri yang seimbang serta kemampanan dan daya tahan alam sekitar," katanya.


Katanya, mesyuarat juga dimaklumkan berkenaan Perancangan Projek Tebatan Banjir yang berjumlah RM15 bilion bagi tempoh 8 Tahun (2023 hingga 2030).
"Kaedah pembiayaan projek-projek ini sedang diperincikan oleh Kementerian Kewangan. Perancangan secara holistik ini merangkumi projek jangka masa pendek/sederhana dan panjang," katanya. - DagangNews.com








