SERDANG 28 April - Seramai 100 pelajar asnaf Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima sumbangan wang tunai daripada QSR Brands (M) Holdings Bhd sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Pelajar UPM.
Majlis yang diadakan di Dewan Philip Kotler, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) UPM itu turut menyaksikan penyampaian replika Cek Agihan Bantuan QSR-SPE bernilai RM150,000 oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan QSR Brands, Mohd. Khairul Izzad Mohammed Shamsuddin. kepada Dekan SPE UPM, Prof Madya Dr. Bany Ariffin Amin Noordin.
Penyampaian sumbangan itu turut disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad dan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman.
QSR Brands juga turut menyumbang set makanan KFC sebagai salah satu sajian berbuka puasa di majlis itu.
Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Pelajar UPM yang bertemakan 'Mensyukuri Ramadan, Meraikan Aidilfitri' merupakan kesinambungan daripada program kerjasama SPE dan QSR Brands dalam program misi agihan bantuan dan pemindahan ilmu kepada komuniti terutamanya keluarga asnaf dan pelajar fakir dan miskin.
Mengambil keberkatan Ramadan, majlis itu diadakan bagi meraikan pelajar asnaf UPM dan bagi membolehkan pelajar asnaf menyambut Aidilfitri 2022 dengan penuh kesyukuran.

Ia selari dengan hasrat dan fokus kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan sosial sebagai manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, untuk menjaga kebajikan pelajar terutamanya asnaf. - DagangNews.com








