Isu Imigresen: Nanyang Siang Pao kata pengundi Cina mungkin namakan Saifuddin Nasution menteri `paling teruk' | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 10 July 2023

Isu Imigresen: Nanyang Siang Pao kata pengundi Cina mungkin namakan Saifudin Nasution menteri `paling teruk'

 

 

 

KEKECOHAN di KLIA minggu lalu, apakah benar-benar mendedahkan penyalahgunaan kuasa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), yang didakwa memeras ugut pelancong China dan menahan pelancong secara sewenang-wenangnya?

 

Imbas semula kronologi kekecohan tersebut. Menurut laporan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menerima aduan, kemudian secara peribadi pergi ke KLIA untuk menyelamatkan seorang wanita China yang dikatakan dikurung dalam ‘bilik hitam’ oleh pegawai imigresen dan meminta bayaran sehingga RM18,000 sebagai ‘bayaran pelepasan’. 

 

Tiong turut mendedahkan bahawa pada masa lalu terdapat beberapa kes yang disyaki peras ugut terhadap pelancong di KLIA. Tetapi apabila beliau membuat laporan dan cadangan kepada JIM, layanan dingin yang diterima.  


 

tnb
                             Datuk Seri Tiong King Sing

 


Rasuah rosak reputasi industri pelancongan

Pelancong layak disambut dengan baik dan dihormati, bukannya dilayan secara tidak adil. Perbuatan rasuah ini menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan dan institusi rasmi, malah pelancong asing akan curiga dan rasa tidak selamat dengan negara kita. 

 

Imej rasuah akan mencemarkan nama baik di persada antarabangsa, bukan sahaja memudaratkan industri pelancongan tetapi juga bidang lain seperti perdagangan, hubungan diplomatik dan pertukaran budaya. 

 

Isu pelancong China ditahan tersebar meluas di internet. Beberapa warga China yang pernah mengalami perkara sukar semasa melawat Malaysia dalam ‘Tiktok’. Menceritakan kerakusan pegawai JIM, membayangkan pintu masuk Malaysia ibarat neraka. Walaupun selepas melepasinya, akan melihat keindahan tetapi pengalaman tersebut membuat mereka serik. 

 

Insiden rasuah menyelubungi PRN

Adakah skandal rasuah pegawai imigresen ini akan menyelubungi 6 Piihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang? Oleh kerana undi penjawat awam dikatakan sangat berharga, tiada blok politik yang mahu tersilap langkah menyinggung perasaan. Nescaya demi undi, insiden ini pasti akan lenyap sekejap sahaja. 

 

Pertama sekali, kita mesti menganalisis penjawat awam dan rakyat secara berasingan. Rakyat Malaysia sudah lama mengetahui bahawa rasuah wujud di mana-mana dan kebanyakannya mempunyai pengalaman peribadi.

 

Mentaliti berani marah tetapi tidak berani bersuara, tiba-tiba sahaja memecah benteng apabila Tiong King Sing tampil seperti ‘hero’ meluahkan rasa kecewa, sehingga membangkitkan sentimen ‘MeToo’ dalam kalangan rakyat.


 

volatiliti
             Datuk Seri Saifuddin Nasution

 


Bagaimana pula dengan reaksi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution? Jika pengundi Cina diminta untuk mengundi menteri yang paling teruk, mungkin beliau di tangga paling atas.

 

Penjelasannya yang lemah dan menolak tanggungjawab kepada kepada ‘ejen’, kemudian Kementerian Pengangkutan membuatkan orang ramai terkedu.

 

Ramai netizen membuat spekulasi Saifuddin akan ‘mendamaikan pertikaian’. Apatah lagi pandangan orang Melayu berhubung insiden ini berat sebelah, pasti tiada siapa yang berani membuat apa-apa pertaruhan. 

 

Oleh kerana 6 PRN akan diadakan, pasti Kerajaan Perpaduan mahu menstabilkan penjawat awam. Saifuddin mungkin tiada pilihan, inilah politik perkauman yang menjadi masalah negara kita.  

 

Sangkal dakwaan untuk alih tumpuan

Tetapi bagaimana seorang pegawai kerajaan boleh tidak tahu mengenai kejadian ‘rasuah’ ini? Mengapa setelah sekian lama, rasuah tidak dapat dihapuskan?

 

Perkara ini tidak dapat dipisahkan dengan peningkatan bilangan kambing hitam. Apabila kegiatan ini semakin berleluasa, sukar untuk membendungnya lagi. Jika kegiatan ini dicabar atau didedahkan, mungkin akan membawa kepada reaksi yang besar daripada mereka yang terlibat dalam rasuah.

 

Selain itu apabila ada kegiatan rasuah didedahkan, langkah pertama yang akan dilakukan adalah untuk mengalihkan tumpuan. Jadi tidak hairanlah timbul suara-suara tidak puas hati dan menuduh menteri melangkaui kuasa atau melanggar operasi standard (SOP).

 

Seterusnya kita akan dengar pelbagai rungutan. Sebagai contoh, pegawai terlebih membuat mogok mendakwa bahawa menteri tersebut menyalahgunakan kuasa dan dia sebenarnya adalah mangsa.

 

Atau dengan sengaja menyalahkan keseluruhan kejadian atas ketidakadilan kaum, dengan harapan mendapat simpati dan empati daripada kaum yang sama. Helah ini sudah biasa dalam persekitaran Malaysia, dan kerajaan perlu tampil dan menjelaskan perkara sebenar. 

 

Keruh keadaan untuk raih keuntungan

Begitu juga pada ketika ini, semua parti politik tidak mahu menyinggung perasaan penjawat awam. Tidak hairanlah mengapa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh tiba-tiba tampil berang mengkritik Tiong King Sing. 


 

Muhammad Akmal Salleh
                                      Dr Muhammad Akmal Salleh

 


Adakah Akmal cuba menunjukkan kebaikannya kepada penjawat awam? Setidak-tidaknya, beliau sangat popular di kalangan penjawat awam Melayu kerana ‘kelantangan dan berani bersuara’. 

 

Perikatan Nasional (PN) juga berdiam diri. Mungkin kerana pilihan raya, jadi mereka jelas bahawa perlu menjaga undi terlebih dahulu dan yang lain kemudian sahaja cerita.

 

Hari-hari yang akan datang, bagaimana pilihan raya dapat mengaburi pandangan dan pendengaran? Lihat sahaja perangai Tun Dr. Mahathir, kita sudah boleh membuat andaian.

 

Apabila beliau dapati ucapannya tidak lagi diterima, malah parti pemerintah membayangkan penyalahgunaan kuasa dan kroninya yang lalu mungkin akan berdepan perhitungan. Apa yang boleh beliau lakukan adalah menghancurkan keharmonian kaum, menghasut emosi agar dapat meraih keuntungan menerusinya.

 

Mekanisme laporan telus

Begitu juga, mungkin hari ini kerajaan tiada masa untuk menangani insiden imigresen. Tetapi bukan bermakna selepas PRN, tindakan tidak akan diambil. Jika pihak tidak mempercepatkan reformasi dan menghapuskan rasuah, bimbang pada masa akan datang lebih banyak lagi insiden akan berlaku

 

Insiden sebegini perlu ditangani dengan berhati-hati dan bukannya bersifat perkauman. Laporan perlu berlandaskan fakta dan objektif. Hanya melalui pentadbiran yang bersih, telus dan adil kita boleh mencapai pembangunan yang mampan dan negara yang lebih makmur dan bermaruah. - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 5-9 Julai 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 
dagangnews


 

Portfolio Tags