Anwar menang tetapi terkepung, kata Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 14 August 2023

ANWAR MENANG TETAPI TERKEPUNG, KATA SIN CHEW JIT POH

Sin Chew Jit Poh 13 Ogos 2023

 

 

KEPUTUSAN 6 Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos 2023 seperti jangkaan, 3 sama!

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mempertahankan prestij politiknya apabila Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Anwar juga berjaya menyangkal dakwaan kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang selepas PRN.

 

Walaupun PH-BN telah melakukan yang terbaik dalam 6 PRN ini, namun mereka gagal mencapai beberapa matlamat sebelum pilihan raya. Malah, Perikatan Nasional (PN) pula memenangi lebih banyak kerusi di 3 negeri PH.

 

Keadaan yang menunjukkan bahawa tekanan politik yang dihadapi oleh Kerajaan Perpaduan tidak berkurangan dan nescaya keadaan akan terus bergolak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


 

apa

 

Gelombang hijau semakin membesar

Dari segi kerusi, PN memenangi 146 kerusi daripada 245 kerusi yang dipertandingkan dan menyumbang kepada 59.6 peratus daripada jumlah kerusi. Menjadikan PN pemenang besar dalam PRN kali ini.

 

Sementara PH memenangi 80 kerusi iaitu Selangor - 32; Pulau Pinang – 27, Negeri Sembilan – 17; Kedah – 3 dan Kelantan – 1 kerusi. BN pula menang 2 kerusi di Selangor, Pulau Pinang – 2; Negeri Sembilan – 14 dan Kelantan – 1.

 

Jika kita mengira mengikut jumlah kerusi DUN, PN sebenarnya menang lebih 47 kerusi daripada Kerajaan Perpaduan pada 6 PRN ini.

 

Kerajaan Perpaduan terkepung

PHBN berjaya mengekalkan 3 negeri tetapi dalam keadaan yang sukar. Undi Melayu PH-BN telah dikosongkan, menunjukkan tahap rasa tidak puas hati dalam masyarakat Melayu sangat tinggi.

 

Anwar komited untuk memenangi undi Melayu sebelum pilihan raya dengan mengumumkan kenaikan subsidi untuk pesawah, penyelarasan gaji penjawat awam dan menubuhkan mekanisme pemberian subsidi gaji kakitangan sektor swasta. Namun semuanya sia-sia, dan PN masih mendapat lebih banyak undi tentera dan polis.


 

tnb

 


Anwar juga menjadikan Kedah sebagai serangan terakhir sebelum pengundian, menunjukkan keyakinan besar beliau akan dapat merampas kuasa Kedah. Tetapi aura politiknya tidak dapat menandingi ‘gelombang wira’ yang dicetuskan oleh Sanusi.

 

Di bawah tekanan gelombang hijau, kerusi PHBN telah berkurangan dan bermatian mempertahankan pentadbiran 3 negeri. Meskipun berjaya mengharungi rintangan kali ini, terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi nanti.

 

PN juga gagal capai matlamat

Bagaimanapun, PN juga tidak mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Ia pada asalnya menjangkakan menawan Selangor dan menang lebih satu pertiga kerusi di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

 

Tetapi selepas peti undi dibuka, bukan sahaja gagal memenangi Selangor malah turut dihentam teruk di Negeri Sembilan.

 

Gelombang hijau belum surut, hanya tenang buat sementara waktu. Kuasanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah mencapai kemuncak. PN juga menang kerusi majoriti Melayu di Selangor dan menembusi satu pertiga di negeri itu. Walaupun kalah di kawasan campuran, namun kekuatan menonjol di bahagian Selatan Selangor.

 

Perjuangan kuat PN dalam agama dan bangsa, telah berjaya membangkitkan persetujuan majoriti pengundi Melayu di Pulau Pinang. Jika PH-BN tidak memperkukuhkan tembok, bila-bila masa sahaja ia akan roboh.


 

tnb

 

Prestasi setiap parti berbeza

Dari segi prestasi parti pula, DAP masih menyerlah dan memenangi hampir semua kerusi yang ditandingi. Ini juga adalah hasil kegigihan pengundi Cina dan India yang sudah tiada pilihan lain.

 

DAP menghantar seramai 47 calon dan menang 46 kerusi DUN, menjadi tunjang utama Kerajaan perpaduan. Tetapi sudah tentu, prestasi cemerlang DAP akan menarik serangan daripada PN, membangkitkan emosi bahawa Kerajaan Perpaduan dikawal oleh DAP.

 

PKR pula hampir tersungkur untuk mempertahankan kawasan mereka dan bergantung sepenuhnya kepada kekuatan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

 

Namun PKR masih kekurangan sokongan orang Melayu dan ini bukan perkara yang baik bagi parti berbilang kaum yang dipimpin oleh orang Melayu. Jadi PKR mesti mendekati masyarakat Melayu agar boleh menerima ideologi parti.

 

UMNO paling mendapat perhatian dan mujur tidak terkubur dalam 6 PRN ini. Prestasinya di Negeri Sembilan jauh lebih baik daripada PH, menang 14 daripada 17 kerusi yang ditandingi. Walau bagaimanapun, UMNO hampir terkubur di negeri lain.

 

UMNO hampir tumbang sepenuhnya di utara dan pantai timur. Bersaing dengan PAS dan Bersatu dalam perebutan kuasa politik Melayu, ibarat pertempuran antara telur dan batu. UMNO perlu melakukan pembaharuan dalaman parti, menukar pemimpin, dan tampil semula dengan penjenamaan baru.

 

Tugas berat Kerajaan Perpaduan

Keputusan 6 PRN juga menyerlahkan kebimbangan tersembunyi polarisasi politik antara Melayu dan bukan Melayu.

 

Walaupun gelombang hijau bukan gelombang agama, tetapi gelombang rasa tidak puas hati dan fanatik politik belia adalah mellibatkan bangsa Melayu. Anwar perlu menyelesaikan masalah ekonomi masyarakat Melayu dan menyelesaikan polarisasi politik.


 

anwar

 


Dalam tempoh 4 tahun akan datang, keajaan Anwar tidak boleh bersaing dengan PN untuk dasar konservatif semata-mata mahu memenangi hati pengundi Melayu konservatif. Sebaliknya mereka perlu menyasarkan kelemahan PN, menjarakkan diri daripada PN.

 

6 PRN sudah berakhir, segala persaingan politik dan isu-isu yang dimanipulasi harus dihentikan. Suhu politik perlu diredakan agar kerajaan negeri dapat dipimpin dengan serius dan memainkan peranan masing-masing secara profesional. 

 

Begitu juga Kerajaan Perpaduan harus benar-benar melaksanakan reformasi, mengekalkan masyarakat yang berilmu dan sederhana, dan menggalakkan Pembangunan ekonomi, menstabilkan harga, mengurangkan beban hidup rakyat, meningkatkan peluang pekerjaan. Tunjukkan keupayaan untuk mentadbir agar dapat meraih semula undi yang hilang. – DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 13 Ogos, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

dagangnews

 

Portfolio Tags