Airbnb, MGTC bentuk kerjasama strategik pacu pelancongan hijau di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Airbnb, MGTC bentuk kerjasama strategik pacu pelancongan hijau di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - Airbnb dan Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bersama-sama memacu agenda pertumbuhan hijau negara melalui beberapa siri inisiatif. 

 

Sebagaimana perlancongan telah dibenarkan semula, kerjasama MoU ini bertujuan untuk membantu menggiatkan semula perjalanan pasca wabak COVID-19, dan menyokong sasaran Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Secara khususnya, Airbnb dan MGTC akan berusaha untuk mendidik komuniti Hos Airbnb di Malaysia tentang cara menggabungkan amalan lestari ke dalam operasi dan tawaran hospitaliti harian mereka. 

 

Kedua-dua pihak juga akan berusaha untuk memperkasakan rakyat Malaysia untuk mengurangkan jejak karbon mereka dan mengamalkan tabiat perlancongan yang lebih lestari.

 

Antara bidang kerjasama utama termasuk mengendalikan bengkel kelestarian untuk penyedia penginapan dan Hos Airbnb di Malaysia, mencipta bersama panduan penjimatan tenaga untuk penyenaraian Airbnb di Malaysia.

 

Ia juga sebagai kerjasama MGTC untuk menjayakan acara perdana International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM), satu acara perdagangan terbesar di Asia Tenggara untuk teknologi hijau dan penyelesaian eko.

 

Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj berkata, tahun lepas, Airbnb melancarkan Green Stays Awards pertama untuk meraikan dan memacu perkembangan pelbagai jenis penginapan pelancongan inovatif yang mementingkan kesedaran alam sekitar di Malaysia. 

 

 

airbnb
Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor (kiri) dan Amanpreet Bajaj ketika selepas menandatangani MoU untuk bersama-sama memacu agenda pertumbuhan hijau negara melalui beberapa siri inisiatif. 

 

 

"Hari ini, kami teruja untuk meneruskan kerjasama ini melalui MoU dengan MGTC. 

 

"Rakyat Malaysia semakin cakna mengenai keutamaan dalam perlancongan dan kami komited untuk bekerjasama dengan MGTC untuk membangunkan kecekapan hijau dalam industri pelancongan dan memperkasakan hos serta para tetamu untuk menerapkan gaya hidup hijau dalam kehidupan harian, pengehosan dan perlancongan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

airbnb

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC, Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor pula berkata, ia merupakan MoU pertama mereka dengan platform hospitaliti antarabangsa Airbnb, yang menandakan batu loncatan untuk kerjasama awam dan swasta untuk memajukan agenda pertumbuhan hijau di Malaysia. 

 

 

airbnb

 

 

"Untuk menjadikan gaya hidup hijau satu realiti di Malaysia, kita perlu bermula dengan komuniti kita. 

 

"Kami tidak sabar untuk jalinan kerjasama dengan Airbnb bagi mendidik rakyat Malaysia dan para perniaga tentang langkah kecil yang mereka boleh ambil ke arah mengurangkan pelepasan karbon mereka, selain memupuk gaya hidup lebih hijau serta perlancongan lestari," katanya. - DagangNews.com