HSS Engineers raih kontrak sedia khidmat rundingan projek infrastruktur bernilai RM16.27 juta | DagangNews Skip to main content

HSS Engineers raih kontrak sedia khidmat rundingan projek infrastruktur bernilai RM16.27 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 April - HSS Engineers Bhd. menerusi unitnya, HSS Integrated Sdn. Bhd. (HSSI) menerima kontrak bernilai RM16.27 juta daripada Sambungan Lebuhraya Timur Sdn. Bhd.

 

Kontrak tersebut bagi menyediakan perkhidmatan rundingan bagi kemudahan projek infrastruktur akan datang di Lembah Klang, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Skop perkhidmatan disediakan HSSI di bawah kontrak itu termasuklah menyediakan dan memuktamadkan reka bentuk kejuruteraan awal dan terperinci untuk projek berkenaan dan juga menyediakan khidmat nasihat teknikal berkaitan.

 

"Tarikh kontrak ini bermula ialah pada 24 Januari 2022 dan dianggarkan memakan masa selama 6 tahun dan 7 bulan. 

 

"Menurut pengaturan gabungan eksklusif antara HSSI dan HSS Engineering Sdn. Bhd. (HSSE), anak syarikat milik penuh HSS, HSSI dan HSSE akan bekerjasama secara eksklusif untuk melaksanakan dan menyelesaikan kontrak berkenaan," katanya.

 

Menurut HSS, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 hingga 31 Disember 2028.

 

"Ia tidak memberi sebarang impak kepada modal saham dan atau struktur pemegangan HSS," tambahnya. - DagangNews.com