Haily raih kontrak RM41.28 juta bina vila dan resort eksklusif di Iskandar Puteri | DagangNews Skip to main content

Haily raih kontrak RM41.28 juta bina vila dan resort eksklusif di Iskandar Puteri

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Haily Group Berhad (Haily) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn. Bhd. meraih kontrak bernilai RM41.28 juta daripada DP Architects Sdn. Bhd. bagi pihak Country View Resources Sdn. Bhd.

 

Country View Resources Sdn. Bhd. ialah anak syarikat milik penuh Country View Berhad yang tersenarai di Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Haily dalam satu kenyataan memaklumkan, ia menerima surat tawaran tersebut hari ini membabitkan pembinaan vila resort eksklusif di Iskandar Puteri, Johor dan menandakan kontrak terbesar yang dimenangi Haily sejak penyenaraian di Pasaran ACE pada Julai tahun lepas.

 

"Pembinaan merangkumi Fasa 1 Pembangunan Strata Resort Pelancongan yang terletak di Aurora Sentral, Pulai, Johor dan di bawah kontrak itu, Haily diamanahkan membina 121 unit Vila Link dua tingkat, satu unit pencawang TNB dan satu unit ruang sampah. 

 

"Tempoh keseluruhan projek ialah 18 bulan dan kerja pembinaan dijangka akan dimulakan pada 28 Januari ini dan siap pada 28 Julai 2023," menurut kenyataan tersebut.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan Haily, See Tin Hai berkata, cabaran dalam keseluruhan ekonomi dan industri pembinaan tidak menghalang pertumbuhan mereka. 

 

"Dalam tempoh lima bulan lalu, kami berjaya memperoleh tujuh kontrak, termasuk daripada syarikat tersenarai terkenal seperti IOI Properties Group Berhad, Mah Sing Group Berhad dan Country View Berhad. Ini adalah rekod prestasi yang terbukti dan keupayaan menyampaikan kerja pembinaan berkualiti mengikut keperluan pelanggan kami. 

 

"Ketika pandemik COVID-19, kami optimistik secara berhati-hati terhadap prospek industri pembinaan, memandangkan jangkaan pemulihan ekonomi keseluruhan tahun ini. Kami akan kekal memberi tumpuan kepada pembinaan bangunan kediaman, sambil berkembang ke pembinaan bangunan perindustrian," katanya.

 

 

haily
See Tin Hai

 

 

Beliau berkata, strategi jangka sederhana Haily, termasuk tumpuan lebih besar kepada kecekapan terasnya dalam landskap pembinaan bangunan Johor serta mengembangkan ke Johor Bahru dan daerah Kulai ke daerah lain. 

 

"Di samping itu, kami menyasarkan untuk mempercepatkan pertumbuhan produktivitidan meningkatkan kecekapan operasi melalui pembelian jentera pembinaan baharu serta pengurusan kontrak dan perisian perakaunan," katanya.

 

Haily positif bahawa kontrak untuk Fasa 1 Pembangunan Strata Resort Pelancongan yang terletak di Aurora Sentral, Pulai, Johor, akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh projek. 

 

Kontrak terbaharu ini susulan kejayaan Haily memperoleh pelbagai tender untuk projek pembinaan berjumlah lebih RM100 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021. - DagangNews.com