Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 5 March 2021

Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

 

SEBAGAI seorang usahawan penerbitan kandungan kreatif, bayangkan situasi ketika tahun demi tahun, kita menyerahkan sepenuh jiwa membikin penerbitan terbaik kepada khalayak penonton. Tiba-tiba perniagaan kita – atas apa-apa sebab yang kita pun tidak tahu dan tidak mampu meramal - hilang keupayaan untuk membikin lagi.

 

Apa yang mampu kita lakukan jika kesemua hak cipta yang dihasilkan sebelum ini bukan milik kita?

 

Mungkin kita hanya mampu mengenang sesuatu yang lalu – sambil mula perlahan-lahan memikirkan percubaan beralih arah ke bidang lain yang tidak dekat dengan kemahiran kita semata-mata sebagai kesinambungan hidup.

 

kreatif

 

Contoh terdekat, dalam situasi pandemik COVID-19 kini – yang mana beberapa ketika kerja produksi tidak dibenarkan – boleh dianggap banyak syarikat produksi menghadapi masalah kewangan yang kritikal kerana kehilangan pendapatan akibat tidak dapat menjalankan produksi.

 

Sebahagian lagi syarikat penerbit yang mempunyai hak cipta ke atas penerbitannya seperti filem dan animasi terdahulu – terus menjana pendapatan daripada permintaan penyiar yang kekurangan kandungan akibat tiada kerja produksi baharu dapat dijalankan.

 

Itu analogi mudah yang menggambarkan bahawa syarikat produksi kandungan kreatif sentiasa harus mencari peluang untuk membangunkan kandungan dengan hak cipta dan harta intelek yang dimiliki sendiri.

 

Dalam satu situasi lain, membangunkan dan memiliki harta intelek sendiri bukan penyelesaian jika kita tidak tahu atau tidak mahu menguruskannya secara bijaksana. Contoh dapat dilihat apabila banyak filem tempatan pada dekad 1970-an dan 1990-an yang tidak dapat dikenal pasti siapa pemilik hak ciptanya yang terkini.

 

Kerana kurangnya kesedaran dan pengetahuan, banyak syarikat produksi yang ditutup, tidak dijelaskan ke mana perginya hak cipta filem-filem terbitan mereka – malah aset ini tidak diambil kira dalam proses penilaian ketika penutupan syarikat – yang mana aset tersebut jika dikendalikan (atau diserahkan) dengan baik – masih mampu menjana pendapatan sehingga kini kepada penerima manfaat yang sewajarnya.

 

Malah bagi filem yang sukses di pasaran ketika itu mungkin mempunyai nilai penjenamaan yang berpotensi untuk dikembangkan menjadi jenama dalam bidang lain – produk contohnya. Namun itu tidak berlaku ketika itu.

kreatif

 

Kini kita sudah boleh mula berharap kepada gelombang pemain baharu yang kini dilihat lebih proaktif dan mengambil berat tentang hal ini.

 

Salah satu syarikat kecil yang berjiwa besar dalam hal ini - yang menarik perhatian saya dan mungkin boleh dijadikan contoh adalah Wiroes Studio, iaitu sebuah perniagaan yang digerakkan dua orang anak muda.

 

Dengan kemahiran rekaan grafik yang dimiliki, ramai anak muda berminat untuk menceburi dunia animasi, namun mereka sedikit berbeza. Mereka memilih sesuatu yang lebih dekat diri mereka – dan lebih mereka cintai secara peribadi – iaitu Tokusatsu.

 

tokusatsu

 

Tokusatsu adalah sebuah genre yang dalam bahasa Jepun yang membawa maksud drama dan filem live action mengguna pakai kostum superhero dan kesan khas sebagai elemen utama dalam ceritanya (juga dipanggil Suitmation).

 

Bermula di Jepun, genre ini begitu popular di Malaysia khususnya bermula dekad 1990-an melalui siri import seperti Satria Baja Hitam, Polis Angkasa Gaban, Ultraman, Maskman dan banyak lagi. Ketika itu, ia menjadi kegilaan kanak-kanak terutamanya yang lahir dalam dekad 1980-an termasuk saya sendiri.

 

Namun, yang saya terlepas pandang, genre ini bukanlah genre bermusim – ia belum berakhir - malah mempunyai khalayak pengikut yang begitu ramai ketika ini – yang mana komuniti pecinta Toku ini (singkatan kepada Tokusatsu) merupakan komuniti rentas negara – dari negara-negara di Timur hingga ke Eropah dan benua Amerika.

 

Melalui dua sahabat anak muda di Wiroes Studio ini saya mengetahui, negara jiran seperti Indonesia mempunyai watak Toku popular yang mana program televisyennya bersiaran untuk tempoh bertahun-tahun; malah ada yang telah diangkat ke filem.

 

Mighty Knight Bayu

 

Melihat kelompongan watak hero Toku di Malaysia – dengan saiz pasaran yang besar – mereka melancarkan watak pertama dari `universe` Mighty Knight – yang dikenali sebagai Mighty Knight Bayu.

 

Dalam sumber kewangan dan modal yang sangat kecil – mereka tetap berusaha sehingga terhasil episod pilot Mighty Knight Bayu dengan kualiti penerbitan yang ringkas – tetapi cukup untuk memperlihatkan potensi besar jenama ini.

 

Selain kesungguhan mereka menekuni kandungan Tokusatsu ini, yang paling menarik perhatian saya adalah pendekatan model perniagaan yang mereka cuba bangunkan. Mereka yang mempunyai `fan-base` yang baik dalam kalangan peminat Toku telah membangunkan jenama ini dengan melancarkan pelbagai produk seperti komik, permainan serta lain-lain – sebelum siri episod Mighty Knight Bayu dihasilkan lagi.

 

Pendekatan ini sememangnya merupakan kebiasaan dalam model perniagaan syarikat berkaitan dunia animasi, namun kebanyakan yang mengaplikasi model ini adalah studio mapan. Walaupun sebuah studio kecil – mereka memperlihatkan kefahaman mereka tentang pendekatan perniagaan yang sewajarnya mereka pilih.

 

Saya melihat Wiroes Studio ini adalah sebagai gambaran potensi besar golongan muda masa kini – yang dari peringkat awal lagi sudah memahami sifat industri kandungan yang tidak dapat lari dari berteraskan harta intelek (IP) sebagai teras dalam perniagaan mereka.

 

Industri kandungan kreatif Malaysia sememangnya mempunyai kekayaan bakat kreatif yang hebat – tidak kira dalam bidang perfileman, animasi dan sebagainya.

 

Namun, kekurangan ketara yang dapat dilihat adalah kurangnya tenaga penggerak pengurusan dan perniagaan yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang `modus operandi` bagaimana yang seharusnya mereka aplikasi dalam rumah produksi mahupun studio animasi mereka – dalam memastikan kelangsungan dan kestabilan perniagaan dalam masa panjang.

 

Perniagaan dalam bentuk perkhidmatan bagi memenuhi tawaran kerja secara `commisioning` tidaklah salah, malah ia sememangnya boleh menjadi salah satu sumber pendapatan utama kepada perniagaan dalam menampung kos operasi – apatah lagi di peringkat awal perniagaan yang pastinya sukar mendapat pembiayaan bagi membangunkan harta intelek sendiri.

 

Namun ia boleh digunakan sebagai batu loncatan bagi mendapat kepercayaan malah sumber modal bagi membangunkan harta intelek sendiri yang lebih menjamin kelangsungan kita pada masa mendatang.

 

 

kreatif

 

 

Perihal mengenai perundangan harta intelek, setidaknya proses asas pendaftaran hak cipta dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) seharusnya menjadi satu pengetahuan asas kepada semua perniagaan kandungan kreatif.

 

Dalam dunia hari ini, tiada yang mustahil. Bayangkan, bagaimana jika ditakdirkan, dengan memiliki hak cipta kepada sebuah video berdurasi 5 minit yang tiba-tiba `meletup` dan diperkatakan ramai –– ia mampu menjadi `kocek emas` kepada syarikat dengan pendapatan jangka masa panjang.

 

Bagaimana pula jika kita berpeluang merakam sebuah dokumentari pendek 10 minit tentang sebuah bangunan bersejarah – tetapi 20 tahun kemudian ia dikenal pasti ia sebagai rakaman terakhir (atau mungkin satu-satunya) yang merakam bangunan tersebut sebelum ia roboh akibat bencana alam. Bayangkan betapa berharganya nilai dokumentari tersebut ketka itu – dan nilai yang boleh kita jana sekiranya kita memiliki hak ciptanya.

 

Dalam dunia perniagaan kandungan hari ini – selain aset tunai dan fizikal yang syarikat kita miliki – aset yang paling berharga adalah aset harta intelek penerbitan-penerbitan berkualiti tinggi yang kita miliki.  - DagangNews.com

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 
ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?

BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags