KUALA LUMPUR 12 April - Bayaran gaji kepada amah atau pembantu rumah Indonesia, bermula pada kadar RM1,200 sebulan, berdasarkan pelaksanaan gaji minimum semasa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kerajaan tidak boleh melaksanakan permintaan Indonesia yang mahu pembantu rumah dari negara itu dibayar pada RM1,500 kecuali atas budi bicara majikan.
"Semasa kita bincang (dengan Indonesia), walaupun saya suka tetapi tidak boleh bersetuju dengan RM1,500 sebab gaji minimum kita adalah RM1,200 jadi mustahil nak bagi RM1,500 walau didesak Indonesia.
"Tetapi ia boleh bermula dengan RM1,200, sekiranya majikan mahu bayar RM1,500 maka bolehlah," katanya pada sidang media, di sini.
Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan amah Indonesia pada 1 April lalu dengan negara dijangka menerima kemasukan kumpulan pertama pembantu rumah Indonesia berjumlah sekitar 10,000 orang selepas Hari Raya.
Pada masa sama Saravanan berkata, kos maksimum pengambilan pembantu rumah Indonesia dijangka akan berkurangan lebih rendah berbanding RM15,000 yang dilaporkan sebelum ini susulan tiada lagi kos tambahan membabitkan proses kuarantin.
Beliau berkata, kos dari Malaysia bagi membawa pembantu rumah sebelum ini dianggarkan lebih RM9,000 antaranya membabitkan pembayaran levi, kuarantin dan insurans, manakala kos dari Indonesia adalah kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 lebih.
Katanya, namun berikutan ketiadaan syarat bagi kuarantin lagi, kos dari negara ini dijangka berkurangan kepada kira-kira RM6,000.

"Saya tidak pernah kata RM15,000... apabila kita mula bincang dengan Indonesia, kita masih ada isu seperti kuarantin dan kesihatan, maka perbincangan awal membabitkan kos tambahan kerana ada kuarantin di hotel maka kita sebut mungkin kos lebih kurang RM15,000 ke bawah.
"Ini kerana ada yang kata mereka terpaksa membayar sehingga RM25,000 bagi mendapatkan pembantu rumah.
"Kos di pihak kita adalah lebih RM9,000 dan di pihak sana adalah RM4,000 hingga RM5,000 lebih... kini kita lihat tiada kuarantin yang mana kos itu boleh turun kepada RM6,000," katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) dengan India selain berunding dengan Vietnam, Kemboja, Sri Lanka, Nepal dan Bangladesh bagi membawa masuk pembantu rumah ke negara ini, lapor Berita Harian.
"Dalam masa terdekat, saya akan melawat Kemboja dan Vietnam untuk bincang dengan kerajaan mereka bagi sektor pembantu rumah," katanya. - DagangNews.com








