Warisan Seni Kulinari menjalin keharmonian | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 21 August 2023

WARISAN SENI KULINARI MENJALIN KEHARMONIAN

 

Asam di darat, ikan di laut, di dalam belanga bertemu juga.

 

Gajah Mada pernah berkata, “Jika (saya berjaya) mengalahkan (menakluki) Nusantara, (maka) saya akan berhenti berpuasa. Jika Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Temasek, semuanya kalah, (maka) saya berbuka puasa."

 

Itulah Sumpah Palapanya yang terus memberi kekuatan pada Indonesia hingga hari ini. Mangkubumi Majapahit tersohor itu menganggap penyatuan negara itu khidmat bakti tertinggi baginya dan hukuman paling pahit bagi seseorang manusia adalah kehidupan tanpa keenakan dunia serta rempah ratus dan santapan Nusantara.

 

Beribu tahun lamanya Alam Melayu dan Nusantara saling mewarisi hidangan  yang paling lazat dengan kepelbagaian juadah. Warisan ratus tahun, natijah pertembungan unik kulinari Timur dan Barat, laluan Selat Melaka memperkayakan lagi gastronomi tempatan yang sudah lama wujud asli di Alam Melayu dan Nusantara.


 

tnb

 


Kepentingan Kepelbagaian Gastronomi

Sebenarnya mungkin kita telah terlupa fungsi utama santapan dan jamuan meraikan keluarga, tetamu dan detik-detik terpenting dalam kehidupan. Majlis perkahwinan, Hari Raya, keramaian dan adat-istiadat kita meletakkan majlis santapan antara keperluan sosial terpenting.

 

Bagi mereka yang telah lama makan garam dan mempunyai pengalaman luas, tentulah arif bagaimana persahabatan dan kemasyarakatan bertambah erat melalui santapan bersama. Namun, adakah kita sedar bahawa dari dulu lagi, hubungan dua hala antara negara saling terjalin melalui Santapan DiRaja atau ‘State Banquet’? Ini merupakan majlis diplomatik yang sangat penting di mana setiap tuan rumah akan menghidangkan juadah dan pencuci mulut yang paling enak disulami persembahan budaya khas dan terbaik.

 

Dalam mencari keharmonian dan kesinambungan antara dua negara,  salah satu aspek diplomatik yang paling disenangi adalah hidangan makanan tempatan. Ini adalah peluang membawa kedua pihak duduk semeja dan menikmati keunikan kulinari, dan pada masa yang sama, membincangkan hal-hal berkepentingan dalam keadaan yang begitu aman damai dan suasana yang harmoni. Ini menggalakkan pencapaian sekata dan saling faham memahami.

 

Budaya Kulinari Menghilang

Masak gulai lemak

Kuah santan kelapa

Ditelan mati emak

Diluah mati bapa

 

Oleh itu, agak membimbangkan, lebih 30 tahun kebelakangan ini kita melihat seni kulinari kita semakin menghilang, digantikan dengan menu yang berasal dari negara asing. Kita boleh menghargai kepelbagaian namun kita tidak perlu mengorbankan warisan kita sendiri.


 

tnb

 


Kini, jika kita ke gerai dan restoren, adalah lebih mudah untuk mendapatkan hidangan burger, hot-dog, tomyam, ayam penyet, ayam gepruk, bakso, hidangan barat seperti Chicken Chop dan Steak dan sebagainya. Termasuk Starbucks. McDonalds. KFC. Subway. Sushi King. Paling terbaru adalah makanan berasal dari budaya Korea seperti Kyochon, K-Fry, dan CU Mart. Anak muda kita memang kenal dan begitu meminati Ramen, Kimchi, dan Gimbap.

 

Minggu lepas, saya dikejutkan dengan kedai kopi comel, ZUS. Bila saya masuk ke dalam restoren kecil itu, saya terus perasan yang kedai ini mendapat ilham dari tamadun Yunani, dan Mediterrania, dengan warna biru putih, dan simbol kilatan yang menjadi lambang keagungan Zeus, Dewa Greek yang tertinggi.

 

Seni Warisan Malaysia

Saya masih teringat nenek saya merupakan seorang yang begitu handal memasak lemang dan daging rendang, daging pacak dan singgang ikan tenggiri. Kari ayam dan masak lemak udang galah. Dia juga membuat halua betik dan kueh apam yang paling enak saya pernah nikmati.

 

Hari ini, jika ke bandar, agak susah untuk mencari Ayam Percik, Singgang, dan Nasi Dagang. Gulai Asam Pedas dan Masak Lemak Chili Padi. Tentu sekali tidak semudah mencari warong tomyam dan ayam penyet. Nasib baik nasi lemak masih menjadi pilihan utama Malaysia untuk sarapan.

 

Meminati pelbagai makanan asing tidak menjadi kesalahan. Sebagaimana juga kita mengenali dan melancong ke negara lain, seperti Istanbul, Beijing dan Rom. Tidak menjadi kesalahan kita membaca karya-karya sastera dari  Orhan Pamuk, Fyodor Dostoevsky dan Victor Hugo. Pablo Neruda, Rumi dan Li Bai. Namun kita seharusnya mengenal juga Pujangga Usman Awang. Pendita Baha Zain. Pak Sako. Dalam mencintai seni ballet, janganlah kita melupai warisan seni persembahan Makyong, Mek Mulung serta Wayang Kulit.


 

tnb

 


Begitu juga dengan warisan seni kulinari kita. Kita patut memastikan seni kulinari Malaysia kekal relevan, memperkasa keunikan nusa bangsa dalam suasana saling menghormati satu sama lain.

 

Kalau ke Kuching, carilah laksa Sarawak, Umai, Midin dan Ikan terubuk masin. Di Melaka, jangan lupa masak asam pedas ikan tenggiri dan kueh keria. Di Kota Bharu, nasi kerabu dan nasi tumpang. Di Negri Sembilan, masak lemak chili padi dan nasi Padang.

 

Dan di kampung saya, Chenor, Temerloh Pahang, carilah masak gulai tempoyak Ikan Patin dan kueh Badak Berendam setiap Khamis.

 

Pasti menyelerakan sehingga tidak terhingga.

 

Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan,

Hilang emak hilang saudara,

Kerana kasih hamba turutkan...

 

 

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb

 

 

Portfolio Tags