Seni pertukangan rumah Melayu - Warisan keindahan & kegemilangan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 15 May 2023

SENI PERTUKANGAN RUMAH MELAYU

Warisan Keindahan dan Kegemilangan 

 

 

Baru-baru ini, ada terlihat poster ASEAN Heritage & History menunjukkan seni bina hebat seluruh Asia Tenggara. Dari Angkor Wat ke Prambanan. Istana Besar Thailand. Tiba-tiba di Malaysia, digambarkan Stadhuys, dan Christ Church, bangunan didirikan penjajah Belanda.

 

Alangkah memalukan. Kebanggaan kita peninggalan penjajah. Samalah seperti mengagungkan kapal Portugis Flor de la Mer di Melaka. 

 

Jika kita tidak merasa bangga dengan seni pertukangan Melayu, tradisi Melayu dan budaya Melayu, inilah akibatnya. Jati diri Melayu hanyut di arus perdana, di telan zaman. 

 

 

ninot aziz

 


Warisan Seni Pertukangan Melayu

Seni pertukangan rumah Melayu amat penting untuk dikekalkan seluruh Nusantara kerana ia mempunyai nilai sejarah, budaya dan estetika yang tinggi. Seni ini merupakan satu karya seni yang kompleks dan halus, dihasilkan melalui kemahiran dan kesabaran tukang-tukang kayu dalam mengukir, menghias, dan menyusun struktur rumah tradisi secara harmoni.

 

Rumah tradisional Melayu mencerminkan seni pertukangan rumah Melayu, yang mempunyai ciri-ciri unik seperti tangga, kekisi, pintu ukir, atap limas, dan hiasan kerawang untuk mengelak cahaya matahari.  Seni pertukangan rumah Melayu merupakan simbol keindahan, kemewahan, dan keanggunan yang diwarisi dari nenek moyang kita.

 

Selain itu, seni pertukangan rumah Melayu juga mempunyai kepentingan ekonomi. Seni pertukangan rumah Melayu dapat membantu menyediakan pekerjaan dan meningkatkan pendapatan ekonomi bagi tukang kayu atau pengusaha seni yang mempunyai kemahiran dalam seni pertukangani. Peningkatan dalam produksi dan penjualan produk seni pertukangan rumah Melayu juga dapat menyumbang kepada ekonomi negara hari ini contohnya dari jualan gazebo, laman, perabot, perhiasan rumah. 

 

Oleh itu, adalah penting untuk memastikan bahawa seni pertukangan rumah Melayu dikekalkan dan dipromosikan di seluruh Alam Melayu. Ini akan memastikan warisan budaya dan estetika seni pertukangan rumah Melayu terpelihara dengan baik dan dapat digunakan sebagai sumber pendapatan ekonomi yang penting dan budaya yang berterusan. 

 

 

tnb
Muzium Terengganu sarat dengan seni bina pertukangan orang Melayu.

 


Prinsip yang mementingkan Alam Kelestarian

Prinsip kelestarian di dalam rumah tradisi Melayu meliputi penggunaan bahan binaan yang mesra alam dari persekitaran dan kepelbagaian sumber tenaga.

 

Selain itu, rumah tradisi Melayu juga mempunyai ciri-ciri mengawal suhu dangan memastikan sistem saliran udara yang baik dengan tingkap yang besar, lubang angin, dan kawasan di bawah yang tinggi.

 

Atap yang melandai yang curam menambahbaik saliran air dan mengurangkan kepanasan, dan penggunaan bahan binaan semulajadi seperti kayu dan buluh.

 

Rumah tradisi juga mempunyai serambi dan anjung di hadapan, sangat sesuai untuk melayan tetamu dan begitu nyaman dan selesa. 

 

Di dalam rumah tradisi Melayu juga terdapat keaslian dan keutuhan elemen seni bina, seperti ukiran kayu, seni hiasan dan reka bentuk geometri di dalam pelbagai aspek bangunan dan perabotan di dalam rumah. Penjagaan dan pemuliharaan struktur bangunan juga menjadi prinsip penting untuk mencapai kelestarian di dalam rumah tradisi Melayu.


 

tnb

 


Rumah tinggi bertiang enam belas

Rumah tradisional terkenal dengan ciri lantai tinggi bertiang. Rumah sebegini dapat mengekalkan keselesaan suhu dalaman, tambahan pula, memberi perlindungan daripada bahaya binatang buas. 

 

Binaan lantai tinggi juga melancarkan gerak angin di bawah lantai. Dengan adanya kayu lantai berongga, udara yang lalu di bawah lantai rumah akan memasuki ruang dalaman bagi membantu proses  peredaran udara. 

 

Selain daripada itu, musim tengkujuh membawa banjir kerap kala berlaku. Oleh itu kaedah lantai tinggi adalah sangat sesuai untuk iklim di rantau ini.

 

Rumah Tradisi Melayu boleh diangkat dan dipindahkan ke kawasan lebih sesuai apabila ada musibah melanda.  

 

Estetika 

Senibina Berlandaskan Alam Semulajadi: Pada umumnya, rumah Melayu dibina menggunakkan bahan-bahan semulajadi seperti kayu, batu, dan anyaman bambu. Konsep senibina berlandaskan alam semulajadi ini memberikan keindahan tersendiri pada rumah Melayu.

 

Reka bentuk rumah Melayu pula biasanya menggunakan bumbung berbentuk limas atau tajam serta mengandungi hiasan ukiran rumit yang bertujuan untuk menambahkan seri rumah tersebut.


 

ninot aziz
Seni bina Istana Lama Seri Menanti di Negeri Sembilan

 


Susunan ruang mencerminkan gaya hidup dan budaya  Melayu. Keluarga orang Melayu dahulukala besar, dan selalunya bilik diubah suai mengikut keperluan. Tumah tradisi juga mempunyai pintu hadapan dan dapur. Kaum wanita selalunya  terus masuk ke kawasan dapur.

 

Pelbagai hiasan seni seperti ukiran kayu di dinding dan pintu serta anyaman rotan pada kerusi, almari dan sebagainya menunjukkan status tuan rumah. 

 

Serambi dan Pengikat Rumah seperti disebut di atas penting kerana melambangkan kerohanian komuniti Melayu dan tempat berkumpulnya keluarga.

 

Sesungguhnya hari ini, segala kelebihan rumah tradisi Melayu mula diakui dan menjadi satu kemegahan. Kosnya sangat mahal kerana semakin kurang permintaan dan kita tidak tahu sama ada rumah Melayu dapat bertahan. 

 

Namun, seni pertukangan dan seni binaan rumah tradisi beratus tahun mesti dipertahankan. – DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags