MENCARI TUKANG CERITA - Pemegang tradisi dan kearifan tempatan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 17 April 2023

MENCARI TUKANG CERITA

Pemegang tradisi dan kearifan tempatan

 

 

 

SEMASA kecil, saya pasti beraya di Kampung Chenor. Pada malam Raya, kami akan membuat kueh bahulu menggunakan dapur arang dan sabut kelapa serta mengacau wajek dan rendang.

 

Nenek akan bercerita perihal tok nenek lama, sejarah Tok Awang Pekan bin Tok Nit kekanda Tok Imam Perang Husin dari Chenor. Mak menceritakan hal Tok Tunggal dan Tok Chenduk puteri Tok Parit Tok Kota Bukit Segumpal. Dan kisah kisah Ken Tambuhan, Panji Semirang, Puteri Saadong, Malim Deman dan Awang Sulong Merah Muda...

 

 

ninot aziz
Penulis sewaktu kecil bersama arwah nenek. - Gambar koleksi peribadi Ninot Aziz

 

 

ninot aziz

 

ninot aziz

 

 

Hikayat Fandom memperjuangkan kepentingan lagenda dan cerita rakyat selama 23 tahun yang lampau melalui karya penceritaan semula hikayat dan cerita rakyat lama, penulisan fiksyen bertemakan hikayat dan aktiviti budaya. 

 

Ini merupakan perjuangan berterusan demi memelihara dan mempromosi kekayaan sastera dan legenda Malaysia serta mempamerkan kisah bertemakan cerita rakyat pada dunia.

 

Aspirasi ini dicapai melalui aktif mencari pencerita untuk berkongsi cerita mereka untuk dirakam, untuk dikongsi dengan generasi muda, dan untuk memberi inspirasi kepada kandungan kreatif seperti video, filem, seni grafik dan penerbitan.

 

Aktiviti utama termasuk pelancaran Persatuan Pencerita, sesi bulanan 'Bertemu Pencerita', persembahan, Hikayat Cosplay dan Penerbitan.

 

Tukang cerita tradisional memainkan peranan yang sangat penting dalam mempromosikan warisan kebudayaan dan tradisional suatu budaya. Mereka membawa kisah-kisah lama dan legenda dari generasi ke generasi, mempertahankan keunikannya dan memberikan wawasan tentang budaya dan nilai-nilainya kepada generasi selanjutnya.

 

Tukang cerita tradisional juga membawa hiburan berkait ajaran kepada masyarakat melalui kisah-kisah mereka. Mereka mampu menyelitkan pesanan moral, agama, atau pengisian budaya tertentu melalui cerita-cerita mereka. 

 

Oleh karena itu, tukang cerita tradisional perlu dihargai untuk kepentingan mereka dalam mempertahankan warisan budaya yang berharga dan memberikan pemahaman yang lebih baik tentang budaya dan tradisi di masyarakat.

 

Pencerita seperti Pak Dalang wayang kulit, Pakyong dan Peran serta pencerita tradisional yang seninya semakin pudar serta khalayak baharu patut diperkenalkan semula dengan cerita tersebut.


 

ninot aziz

 


Isu utama yang dihadapi oleh kelestarian kesusasteraan lisan, legenda dan cerita rakyat termasuk:

 

Kehilangan Warisan Negara - Legenda dan cerita rakyat yang hilang

Menurut Pengasas PERSALIMA dan Sasterawan Negara, Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh, sastera lisan kita direkodkan dalam lebih 100 bahasa etnik seperti Melayu, Iban, Kadazan, Melanau, Temuan, Semang, Mah Meri, dan banyak lagi.

 

Di dalam penghayatan cerita-cerita ini tersimpan kesusasteraan tempatan, kebijaksanaan dan kemahiran semua etnik. Sebaik sahaja sastera lisan dan penerbitan kisah-kisah ini hilang ditelan zaman, bahasa, budaya dan kraf juga akan lenyap. Ini adalah kehilangan Warisan Negara yang tidak ternilai.

 

Kesenian Persembahan Tradisional

Kesenian dan Persembahan tradisional kita seperti Makyung dan Wayang Kulit adalah satu bentuk penceritaan lisan dalam bentuk persembahan teater, lagu, dan puisi lirik yang telah diwarisi dari generasi ke generasi.

 

Menurut Tan Sri Rais Yatim, terdapat keperluan untuk memastikan pemuliharaan dan identiti persembahan tradisional Malaysia, yang juga merupakan tarikan utama pelancong.

 

Namun, kurangnya pemahaman dan penghayatan dalam kalangan belia khususnya menyebabkan seni itu terlupus. Terdapat keperluan untuk memperkenalkan membawa seni ini kepada generasi muda dengan lebih agresif.


 

ninot aziz

 


Kelestarian Keilmuan

Legenda dan sastera lisan mengandungi rujukan kepada pengetahuan atau kearifan lokal termasuk tadbir urus, undang-undang, adat, kesusasteraan, muzik, tekstil, perubatan, seni, kraf, seni bina (bangunan dan kapal), dan kelestarian sejagat.

 

Jika kita menganalisisnya dengan lebih mendalam, kesusasteraan lisan ini mengandungi prinsip ESG Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus yang disebut-sebut dalam naratif zaman moden sebagai kunci kepada kelestarian manusia.

 

Apabila kita kehilangan legenda dan cerita rakyat ini, kita kehilangan banyak pengetahuan ini. Malah, UNESCO telah mendukung prinsip bahawa budaya itu adalah kekunci kepada kejayaan sesebuah Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG Goals).

 

Kesenian dan kesusasteraan adalah komponen utama budaya dan perlu diterapkan ke dalam masyarakat untuk melestarikan keilmuan dan kearifan lokal dalam pembangunan bangsa dan negara.

 

Pendidikan dan Alam Sekitar yang berpusatkan Barat

Pemimpin, Pegawai-pegawai Eksekutif dan Ketua Komuniti negara kita yang kebanyakannya (melalui ekosistem masyarakat, keadaan, dan pendidikan berteraskan dunia Barat) tidak kenal hikayat dan cerita rakyat Melayu yang memegang tradisi dan kebijaksanaan lama serta adat Melayu.

 

Mereka kenal  prinsip ESG, SDG 2030 dan sebagainya tetapi langsung tidak menyedari hakikat bahawa kearifan tempatan dan warisan budaya telah lama mengenal prinsip sedemikian dalam pembangunan masyarakat.

 

Oleh kerana kita kehilangan warisan dan budaya menghormati alam yang telah diamalkan beratus tahun oleh bangsa Melayu, masyarakat kita mula merosakkan alam dan penjarahan lereng-lereng bukit demi keuntungan dan mengotorkan alam sekitar termasuk pantai dan kawasan pergunungan yang indah.

 

Pemimpin kini boleh mempelajari dan menghargai kepimpinan pemikiran lebih daripada 1000 tahun.


 

tnb

 


Jurang teknologi moden dan sastera tradisional

Terdapat jurang yang agak meruncing antara teknologi moden dan kesusasteraan tradisional, di mana sastera lisan tidak menonjol di alam dalam talian.

 

Memandangkan generasi muda lebih (secara amnya) selesa dengan sumber dalam talian dan digital, kekurangan ketersediaan sastera dan budaya tradisional dalam talian dan dalam format digital adalah ancaman sebenar kepada kelangsungannya.

 

Matlamatnya Hikayat Fandom berazam mencari tukang cerita dan terus memperkenalkan semula legenda dan cerita rakyat tradisional yang merupakan warisan negara utama.

 

Sasaran utama adalah kalangan generasi muda untuk memberi inspirasi kepada pencipta kandungan baharu seperti seni visual, komik, buku, animasi, video, vox pop, dll untuk memastikan kelestarian cerita untuk generasi akan datang.

 

ninot aziz

 

Sepanjang 20 tahun mempromosikan hikayat, melalui penerbitan, bercerita, dan penyertaan aktif dalam ceramah dan rangkaian di peringkat tempatan dan antarabangsa, kita mulai nampak kesan di sekolah, masyarakat umum dan pengarang tempatan dalam mencipta kandungan baharu berdasarkan Hikayat, khususnya.

 

Diharap kita dapat meneruskan perjuangan demi memelihara dan memperkasa kekayaan sastera dan legenda Malaysia serta mempamerkan kisah bertemakan cerita rakyat pada dunia...Kisah Panji Semirang, Hikayat Malim Deman dan Awang Sulong Merah Muda. – DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags