KUALA LUMPUR 22 Julai - Dana asing mencatat aliran keluar berjumlah RM4.1 bilion pada Jun 2022 dengan pelabur asing menjadi penjual bersih Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII).
Menurut RAM Ratings, pelabur asing mengurangkan pegangan sebanyak RM4.3 bilion selepas tidak berbuat demikian pada bulan sebelumnya.
Katanya, sebahagian besar daripada tindakan itu didorong oleh kebimbangan pelaksanaan dasar monetari lebih agresif di Amerika Syarikat (AS) selain mengelak risiko berikutan jangkaan kelembapan ekonomi global.
“Sentimen mengutamakan pilihan lebih selamat itu menyebabkan kenaikan pulangan bon apabila hasil MGS setahun dan 10 tahun menokok 33.1 mata asas (bps) dan 6.5 bps bulan ke bulan pada akhir Jun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, minat terhadap sekuriti kerajaan jangka pendek, Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) kekal positif dengan belian asing bersih berjumlah RM233.1 juta pada Jun, sekali gus memaparkan aliran masuk dana asing selama 5 bulan berturut-turut.
RAM Ratings berkata, tekanan jualan terhadap bon dengan tempoh lebih panjang juga berkurangan sejak pertengahan bulan lalu apabila hasil bagi tempoh itu susut walaupun pulangan jangka pendek terus meningkat.
Menurutnya, hasil MGS 10 tahun susut kepada 4.06% pada 20 Julai daripada 4.33% pada 15 Jun, sejajar penurunan hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun kepada 3.04% daripada 3.33% bagi tempoh sama.
Agensi penarafan itu menyifatkan penyusutan hasil jangka panjang itu disebabkan kebimbangan ketara mengenai kemungkinan berlakunya kemelesetan di AS yang akan disusuli sama ada dengan penurunan kadar faedah atau tiada perubahan pada masa akan datang.
“Ketika pelabur terus menilai prospek ekonomi, hasil jangka panjang diunjur kekal berdepan tekanan penurunan dalam masa terdekat.
“Dalam pada itu, hasil bagi jangka pendek sebaliknya diunjur meneruskan aliran kenaikan sebagai tindak balas terhadap langkah memperketat dasar monetari,” katanya. - DagangNews.com








