Untung bersih V.S Industry bagi 2QFY23 susut 31.7% kepada RM30.4 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih V.S Industry bagi 2QFY23 susut 31.7% kepada RM30.4 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - Untung bersih V.S. Industry Berhad bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2023 (2QFY23) menyusut 31.7% kepada RM30.4 juta berbanding RM44.5 juta bagi suku sama pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu bagaimanapun mencatatkan hasil sebanyak RM1.15 bilion berbanding RM1.01 bilion pada 2QFY22 dan hasil yang lebih tinggi itu adalah disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam pesanan jualan daripada pelanggan utama.

 

Kumpulan itu juga mengalami kerugian tukaran mata wang asing sebanyak RM19.8 juta.

 

Bagaimanapun, untung bersih bagi 1HFY23 meningkat sebanyak 8.5% kepada RM91.1 juta berbanding RM83.9 juta pada tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi tempoh itu juga meningkat sebanyak 23.2% kepada RM2.44 bilion bagi tempoh sama berbanding RM1.89 bilion pada 1HFY22.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Datuk S.Y. Gan berkata, selepas mengambil kira iklim operasi perniagaan yang mencabar, pihaknya berbesar hati dengan pencapaian itu dan rekod prestasi yang terbukti serta kedudukan kewangan yang kukuh meletakkan mereka dalam kedudukan yang baik.

 

"Kami menjangkakan kemungkinan terdapat peningkatan permintaan pengguna dalam masa terdekat. Oleh itu, kami kekal positif dengan prospek perniagaan dan komited untuk menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan pelanggan kami.

 

"Secara keseluruhannya, lembaga pengarah berpendapat bahawa prestasi kewangan bagi suku tahun itu adalah memuaskan kecuali keadaan yang tidak dijangka,” katanya. - DagangNews.com