KUALA LUMPUR 21 Feb - Untung bersih Nestlé (Malaysia) Bhd meningkat 18.5% kepada RM132.9 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22), berbanding RM112.1 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
Menurut laporan kewangan syarikat itu di Bursa Malaysia, keuntungan tersebut dapat dicapai berikutan peningkatan perolehan walaupun harga komoditi lebih tinggi dan kadar pertukaran yang tidak menggalakkan serta kesan Cukai Makmur.
Kumpulan itu juga mengumumkan dividen interim dikecualikan cukai sebanyak RM1.22 sesaham dengan tarikh akhir 18 April akan dibayar pada 17 Mei, menjadikan jumlah dividen sebanyak RM2.62 sesaham pada 2022.
Sementara itu, pendapatan bagi suku tersebut meningkat 12.37% kepada RM1.65 bilion daripada RM1.47 bilion pada tahun sebelumnya.
Lonjakan pendapatan tersebut didorong oleh peningkatan pada jualan domestik pada 10.6% dan eksport pada 18.3% berikutan usaha penjanaan permintaan yang berkesan dan normalisasi aktiviti ekonomi pasca pandemik.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), untung bersihnya meningkat 8.9% kepada RM620.3 juta daripada RM569.8 juta pada 2021.
Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat 16.2% kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.73 bilion pada tahun sebelumnya, dipacu oleh pertumbuhan positif jualan domestik sebanyak 12.9% dan peningkatan jualan eksport sebanyak 29.3%.
Segmen makanan dan minuman mengekalkan momentum positifnya manakala perniagaan pembekalan produk ke restoran, hotel dan jualan berkaitan hospitaliti mendorong syarikat untuk kembali kukuh susulan penamatan sekatan pergerakan pada suku kedua 2022.
Mengulas prospek syarikat untuk tahun ini, Nestle bakal terkesan oleh persekitaran ekonomi yang tidak menentu akibat tekanan inflasi serta ketidaktentuan harga komoditi dan mata wang dengan tanda-tanda kemelesetan yang turut dialami beberapa ekonomi utama dunia.
Namun syarikat itu optimis ia mampu memacu pertumbuhan keuntungan dengan menggandakan usaha untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.
“Kami tetap yakin hubungan kukuh yang dipupuk oleh rakyat dengan jenama kami, di atas asas kepercayaan dan kualiti, sambil kekal berhubung dengan keperluan gaya hidup yang berubah-ubah akan kekal sebagai strategi terbaik untuk menghadapi persekitaran luaran yang mencabar dan memberikan hasil yang kukuh dan mampan,” kata syarikat tersebut. -DagangNews.com








