Unit Ranhill raih kontrak kejuruteraan RM50 juta bagi projek Kasawari CCS | DagangNews Skip to main content

Unit Ranhill raih kontrak kejuruteraan RM50 juta bagi projek Kasawari CCS

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Dis - Ranhill Utilities Bhd. menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Perunding Ranhill Worley Sdn Bhd (PRW) memperoleh kontrak bernilai RM50 juta bagi melaksanakan reka bentuk kejuruteraan terperinci untuk projek pengawalan dan penyimpanan karbon (Kasawari CCS).

 

Pada 11 November lalu, unit milik penuh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MHB), Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) telah menganugerahkan kontrak itu kepada PRW, yang terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk kemudahan minyak dan gas.

 

"Penganugerahan kontrak ini adalah hasil daripada kemenangan MMHE dan PRW untuk pertandingan reka bentuk Front End Engineering Design (FEED) pada Ogos lalu," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Projek Kasawari CCS akan menjadi projek CCS luar pesisir terbesar di dunia apabila siap kelak mengikut volum karbon dioksida (CO2) yang dikawal dengan keupayaan untuk mengawal sehingga 3.3 juta tan karbon dioksida (CO2) setahun.

 

Platform CCS baharu terletak bersebelahan kemudahan pemprosesan pusat Kasawari dan dihubungkan melalui jambatan.

 

 

kasawari
Lakaran grafik menunjukkan model platform Kasawari CCS. - Gambar : Ranhill

 

 

CO2 akan dipindahkan dalam saluran paip sepanjang 138 kilometer dan disuntik ke dalam takungan gas luar pesisir yang telah habis.

 

Menurut Ranhill, tempoh projek itu adalah selama setahun dan dijangka selesai pada suku keempat 2023.

 

Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil Ranhill bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill, Tan Sri Hamdan Mohamad berkata, Ranhill Worley komited untuk bekerjasama dengan pelanggannya untuk mengemudi proses peralihan tenaga bagi menyahkarbonkan pengekstrakan hidrokarbon.

 

"Kontrak ini mengukuhkan lagi kedudukan Ranhill Worley sebagai pembekal terkemuka bagi perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk kemudahan minyak dan gas dalam menyampaikan masa depan yang mampan," katanya.  - DagangNews.com