TT Vision dapat kelulusan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

TT Vision dapat kelulusan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Nov – TT Vision Holdings Bhd. (TTVHB) memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities) untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

 

Ia akan menyaksikan pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) terdiri daripada terbitan awam sebanyak 84.50 juta saham baharu, mewakili kira-kira 18.06% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan semasa penyenaraian.

 

Sebanyak 23.4 juta daripada jumlah itu atau 5% akan disediakan untuk permohonan oleh orang ramai dengan sekurang-kurangnya 50% daripadanya akan diketepikan secara ketat untuk pelabur awam bumiputera manakala 18.1 juta saham atau 3.87% akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Baki sebanyak 43 juta saham atau 9.19% akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Tawaran untuk penjualan 10.5 juta saham sedia ada, bersamaan dengan kira-kira 2.24% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih melalui ejen penempatan tunggal, KAF Investment Bank Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TTVHB, Goon Koon Yin berkata, kelulusan untuk disenaraikan itu membolehkan kumpulan memulakan fasa pertumbuhan seterusnya dan percaya pelaksanaan IPO akan membantunya mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri peralatan mesin penglihatan. 

 

Katanya, permintaan global terus meningkat untuk semikonduktor dengan pengeluaran besar-besaran kenderaan elektrik, dan peningkatan penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif.

 

"Oleh itu, kami percaya industri pembuatan peralatan mesin ini khususnya berkaitan pemeriksaan optoelektronik, litar bersepadu dan sel solar akan mendapat manfaat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

KAF Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk pelaksanaan IPO ini.

 

TTVHB ialah sebuah syarikat pemegangan pelaburan manakala anak-anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam pembangunan dan pembuatan peralatan penglihatan mesin dan penyediaan produk dan perkhidmatan berkaitan.
 

Selain Malaysia, syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang ini juga mengeksport produknya ke Korea Selatan, Hong Kong, Jerman, China, Filipina, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan Jepun. - DagangNews.com