Touch ‘n Go tawar dua produk insurans baharu kepada pengguna e-dompet | DagangNews Skip to main content

Touch ‘n Go tawar dua produk insurans baharu kepada pengguna e-dompet

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac - Touch ‘n Go Group, melalui TNG Digital Sdn Bhd selaku pemilik dan pengendali Touch ‘n Go eWallet, telah melancarkan dua produk insurans baharu iaitu CI Insure dan MotoInsure pada eWallet.

 

CI Insure merupakan insuran kesihatan disediakan oleh AIA manakala MotoInsure adalah insurans motosikal daripada rakan kongsi insurans seperti Takaful Ikhlas dan Takaful Malaysia.

 

Menurut kenyataan syarikat itu, CI Insure menawarkan manfaat Elaun Bantuan Gaya Hidup secara tunai sehingga RM5,000 sebulan sehingga tiga bulan meliputi pelbagai penjagaan seperti kejururawatan di rumah, hospis dan paliatif serta perbelanjaan pembersihan rumah untuk menyokong kehidupan seharian pesakit kritikal.

 

Di samping itu, Perkhidmatan Pengurusan Kes Perubatan turut disediakan oleh Teladoc Health, Inc., peneraju penjagaan maya global dengan lebih 20 tahun dalam perkhidmatan telekesihatan, di mana pelanggan boleh mendapatkan pendapat perubatan dan cadangan rawatan daripada pakar penjagaan kesihatan.

 

CI Insure melindungi lima penyakit kritikal teratas di Malaysia iaitu kanser, serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan penyakit arteri koronari yang serius untuk pengguna Touch ‘n Go eWallet berumur antara 18 hingga 60 tahun.

 

Pengguna perlu jawab tiga soalan yang mengambil masa tiga minit dan insurans tersebut boleh dibeli dengan premium bulanan berpatutan pada RM10 sebulan dengan jumlah diinsurankan antara RM30,000, RM50,000 dan RM100,000.

 

Sementara itu, MotoInsure memberi kebebasan kepada pengguna untuk menyesuaikan rancangan mereka dengan jenis perlindungan iaitu komprehensif dan pihak ketiga serta faedah tambahan lain untuk memenuhi keperluan khusus mereka.

 

Selain itu, insurans itu menawarkan pilihan untuk memperbaharui cukai jalan bersama insurans mereka dan e-polisi insurans akan diterima dalam masa 24 jam, manakala cukai jalan dalam masa tiga hingga lima hari bekerja.

 

 

Alan Ni
Alan Ni

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata syarikat itu terus berganding dengan pelbagai penyedia insurans untuk tawaran insurans mampu milik dan memudah cara perolehan insurans yang boleh disesuaikan oleh pelanggan.

 

“Hampir 50% rakyat Malaysia masih kurang diinsuranskan dan penembusan insurans dalam kalangan segmen B40 hanya 30%,” katanya sambil menambah kumpulan itu telah mengeluarkan lebih 2 juta polisi sejak Julai 2021.

 

Dengan penambahan dua tawaran insurans baharu ini, Touch ‘n Go eWallet kini menawarkan enam produk insurance melalui aplikasinya, di mana empat insurans sedia ada adalah CarInsure, SafeTrip, SafeHome dan WalletSafe. -DagangNews.com