Touch 'n Go diiktiraf sebagai majikan siswazah paling diutamakan pada Graduates’ Choice Awards 2023 | DagangNews Skip to main content

Touch 'n Go diiktiraf sebagai majikan siswazah paling diutamakan pada Graduates’ Choice Awards 2023

Erlny Greiss (lima, kiri) dan Ketua Pegawai Operasi TNG Digital Sdn Bhd, Mohd Herman Sarbini (enam, kiri) bersama ahli pasukan dari Touch ‘n Go Group pada majlis Graduates’ Choice Awards 2023
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Kumpulan Touch ‘n Go diiktiraf sebagai Majikan Siswazah Paling Diutamakan dalam kategori fintech pada Graduates’ Choice Awards 2023, baru-baru ini. 

 

Selain itu, syarikat itu turut diiktiraf sebagai salah satu daripada 25 Majikan Siswazah Pilihan Paling Diutamakan Secara Keseluruhan.

 

Ia merupakan anugerah jenama majikan graduan yang paling berwibawa di Malaysia kerana keputusan ditentukan menerusi undian daripada pelajar universiti di negara ini. 

 

Anugerah itu memperoleh undian daripada mahasiswa daripada lebih 100 universiti awam dan swasta di seluruh negara. 

 

Ini mewakili konsensus terbesar suara muda Malaysia, dengan tepat menangkap pilihan pekerjaan masa depan mereka dari pelbagai aspek, termasuk majikan yang paling diutamakan.


 
Ketua Pegawai Sumber Manusia Touch 'n Go Sdn Bhd, Erlny Greiss berkata, anugerah tersebut adalah salah satu pengiktirafan paling penting bagi syarikat dalam pengesahan pengurusan bakatnya dan inisiatif dan amalan sumber manusia. 

 

Beliau berkata, kedua-dua anugerah ini adalah bukti bahawa graduan percaya kepada Touch 'n Go sebagai majikan bereputasi dalam industri fintech dan melihat nilai transformasi mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

“Kami berusaha untuk membina jenama majikan yang menarik yang disokong oleh kepimpinan yang berkesan, penglibatan pekerja yang tinggi dan budaya berprestasi tinggi. 

 

"Sebagai sebahagian daripada transformasi seluruh syarikat kami, kami telah memberikan penekanan yang amat besar terhadap kesejahteraan pekerja dan pembangunan kerjaya, serta memupuk budaya tempat kerja yang bertenaga dan inklusif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Anugerah secara tahunan itu dianjurkan dan dihoskan oleh Talentbank dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti di seluruh Malaysia. 

 

Tahun ini hampir 50 industri tersendiri telah diiktiraf dan eputusan pengundian telah diaudit oleh lembaga jawatankuasa audit sebelum diumumkan kepada orang ramai. - DagangNews.com