Segmen permotoran jejaskan untung bersih Sime Darby suku pertama, susut kepada RM207 juta | DagangNews Skip to main content

Segmen permotoran jejaskan untung bersih Sime Darby suku pertama, susut kepada RM207 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Nov - Untung bersih Sime Darby Bhd. bagi suku pertama berakhir 30 September 2022 susut 12.3% kepada RM207 juta berbanding RM236 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan pendapatan lebih tinggi pada RM12.18 bilion daripada RM10.64 bilion.

 

Ini didorong terutamanya oleh segmen perindustrian, yang melantun semula pada suku dikaji berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, dengan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) meningkat sebanyak 35% kepada RM216 juta.

 

Bagaimanapun, sentimen pengguna yang lemah di China memberi kesan kepada segmen permotoran kumpulan, yang mencatatkan PBIT sebanyak RM176 juta pada suku tersebut hasil daripada margin yang lebih rendah daripada operasi China.

 

Namun, ia sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan yang lebih tinggi daripada operasi Malaysia dan Australasia.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, di sebalik prospek tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) yang dijangka mencabar, kumpulan yakin mampu mengharungi ketidaktentuan itu. 

 

Katanya, melihat kepada prospek positif di hadapan, bagi segmen permotoran, dijangka meneruskan penghantaran pesanan tertunggak di Malaysia sehingga suku ketiga FY23.

 

"Kami juga baru-baru ini memperoleh pengedaran BYD untuk Malaysia, yang menjanjikan banyak keterujaan kepada pasaran Malaysia.

 

"Segmen perindustrian, khususnya produk dan perkhidmatan yang menyokong sektor perlombongan, dijangka menunjukkan prestasi yang baik pada tahun kewangan ini dengan kerja-kerja penyelenggaraan yang tertunggak dan kenaikan harga komoditi menyokong pelaburan berterusan dalam sektor sumber," katanya.

 

Menurutnya, Sime Darby kekal komited untuk meningkatkan kecekapan operasi di samping meneruskan rancangan pengembangan kumpulan dengan melabur untuk kedua-dua perniagaan permotoran dan perindustrian.

 

"Selain itu, kami juga akan meneroka secara aktif peluang penggabungan dan pengambilalihan untuk meluaskan capaian perniagaan teras kami," katanya. -DagangNews.com