Sapura Energy catat untung RM10.18 juta pada suku ketiga FY23 daripada kerugian RM669 juta | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy catat untung RM10.18 juta pada suku ketiga FY23 daripada kerugian RM669 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Dis - Sapura Energy mencatat untung bersih sebanyak RM10.18 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022 berbanding kerugian bersih berjumlah RM669.34 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penambahbaikan ini disebabkan pengiktirafan yang lebih rendah bagi peruntukan untuk kerugian boleh jangka dan kos projek yang lebih rendah diiktiraf, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Selain itu, ia juga dipengaruhi susut nilai yang lebih rendah, bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan usaha sama serta keuntungan pertukaran asing yang menggalakkan pada suku tersebut.

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun susut 12.4% kepada RM1.28 bilion daripada RM1.46 bilion berikutan hasil yang lebih rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C).

 

Segmen tersebut merekodkan hasil sebanyak RM830 juta, 21.3% lebih rendah daripada RM1.05 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya disebabkan peratusan pelaksanaan projek siap yang lebih rendah pada suku semasa.

 

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 31 Oktober 2022, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM99.53 juta berbanding kerugian bersih RM2.28 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan susut 9.2% kepada RM3.33 bilion daripada RM3.67 bilion.

 

Bagi perbandingan suku ke suku, pendapatan pada suku ketiga adalah 8.7% lebih tinggi berbanding RM1.17 bilion pada suku kedua manakala untung bersih juga meningkat lebih 100% berbanding RM2.59 juta pada suku sebelumnya.

 

Menurut Sapura Energy, beberapa bulan akan datang adalah kritikal kepada usaha kumpulan dalam menangani hutang tidak mampan dan status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Katanya, pelaksanaan Bukti Hutang Kumpulan (POD) dengan pemiutang dagangannya hampir selesai dan kumpulan telah mengemukakan Cadangan Skim Penstrukturan Semula (PRS) kepada Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) dan institusi kewangan pada 29 September 2022.

 

"Sejak itu, kumpulan telah mengambil bahagian dalam mesyuarat pengantaraan CDRC dengan institusi kewangan untuk mendapatkan maklum balas dan memperhalusi syarat-syarat PRS.

 

"Draf cadangan penstrukturan semula ini akan menjadi sebahagian daripada keseluruhan rancangan penstrukturan semula dan penyusunan semula Sapura Energy, yang setelah dimuktamadkan akan diserahkan kepada Bursa Malaysia," katanya.

 

Jelasnya lagi, semakan semula kontrak berprestasi rendah dan rundingan penyelesaian komersial dengan pelanggan masih diteruskan dalam usaha menambah baik aliran tunai keseluruhan.

 

Sapura Energy berkata, membina semula nilai kontrak kekal sebagai cabaran dengan akses terhad kepada jaminan bank dan kemudahan modal kerja semasa fasa penstrukturan semula.

 

"Ini telah memberi kesan terutamanya kepada segmen E&C dan operasi dan penyelenggaraan (O&M).

 

"Segmen penggerudian pula mendahului dengan 10 daripada 11 pelantar beroperasi sepenuhnya pada penghujung suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23)," tambahnya.

 

Kumpulan kini mempunyai nilai kontrak berjumlah kira-kira RM6.8 bilion. Secara berasingan, nilai kontrak kasar bukan disatukan bagi entiti usaha sama kumpulan adalah kira-kira RM5.7 bilion. - DagangNews.com