KUALA LUMPUR 11 Nov - Penyusutan nilai ringgit adalah berpunca daripada pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan sepatutnya tidak dilihat sebagai petanda bahawa ekonomi Malaysia lemah dan berada dalam krisis.
Bagi sesebuah negara yang dilanda krisis ekonomi, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, ia akan menyaksikan penguncupan teruk dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Selain itu, katanya, kadar pengangguran juga tinggi, penutupan perniagaan berlaku secara meluas dan kerosakan dalam pengantaraan kewangan.
Namun, menurutnya, Malaysia tidak memperlihatkan semua petunjuk itu, dengan KDNK berkembang selama empat suku berturut-turut sejak suku ketiga 2021 manakala kadar pengangguran terus menurun selama 14 bulan berturut-turut kepada 3.6% pada September daripada 4.8% pada Julai 2021.
Pada masa sama, prestasi kewangan syarikat dan perniagaan kekal sihat dan orang ramai pula terus berbelanja seperti yang dapat dilihat apabila petunjuk seperti jualan runcit dan kereta telah melebihi tahap sebelum pandemik.
"Tambahan pula, sistem perbankan kekal berdaya tahan dan pertumbuhan pembiayaan kekal menyokong aktiviti ekonomi. Ini jelas menunjukkan Malaysia tidak berada dalam krisis ekonomi.
"Walaupun begitu, kami mengakui masih terdapat beberapa bahagian ekonomi yang masih belum kembali kepada keadaan sebelum pandemik.
"Oleh itu, kelemahan ringgit tidak sepatutnya dijadikan sebagai barometer mudah untuk mengukur prestasi ekonomi negara," katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan ekonomi pada suku ketiga hari ini.
Baca : BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga
Pada suku berkenaan, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku ketiga sebanyak 14.2% berbanding 8.9% pada suku sebelumnya.
Di sebalik terdapat kesan asas daripada pertumbuhan negatif pada suku ketiga 2021, pertumbuhan juga didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 9.3% pada tiga suku pertama 2022 setelah mencatat pertumbuhan 5% pada suku pertama.

Langkah agresif Fed
Nor Shamsiah berkata, langkah agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) mengetatkan dasar monetarinya dengan meningkatkan kadar dasar sehingga 375 mata asas (bps), telah mengakibatkan persekitaran dolar AS yang kukuh.
Susulan itu, jelasnya, ringgit beserta hampir semua mata wang serantau dan utama terus terjejas.
Pada asas tahun setakat ini, ringgit telah menyusut sebanyak 11.2% berbanding dolar AS, sejajar dengan aliran serantau.
"Prestasi ringgit juga perlu dinilai secara kolektif berbanding mata wang rakan perdagangan utama Malaysia.
"Ringgit lebih semakin stabil, dengan kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) mencatatkan susut nilai yang lebih kecil sebanyak 2%," katanya.
Menurutnya, kekuatan dolar AS mungkin akan berterusan untuk tempoh lama memandangkan risiko global yang berterusan dan laluan unjuran dasar monetari AS.
Namun, katanya, pada masa akan datang, berikutan ketidaktentuan luaran ini semakin surut, ringgit harus menyesuaikan diri untuk mencerminkan asas-asas ekonomi.
“Selain itu, pembaharuan struktur juga akan meningkatkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan Malaysia, yang akhirnya akan menyokong peningkatan sebenar dalam kadar pertukaran,” jelasnya.

Kesan terhadap kos import
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, penurunan nilai ringgit akan memberi kesan kepada kos import.
Tetapi, katanya, hanya 8% daripada import adalah barangan penggunaan dan pada masa sama, import merupakan bahagian yang agak rendah dalam penggunaan dan pengeluaran domestik.
Dari segi inflasi, berdasarkan sejarah sebelum ini, magnitud kadar pertukaran ini melalui kadar inflasi adalah terhad. Secara purata, penyusutan 5% ringgit dikaitkan dengan kesan 0.1 hingga 0.3% kepada inflasi teras.
"Bagaimanapun, kami sedar bahawa kesan susut nilai ringgit ke atas inflasi mungkin lebih tinggi dalam tempoh semasa kerana persekitaran kos tinggi yang berpanjangan.
"Pelepasan kadar pertukaran juga cenderung lebih kukuh untuk barangan makanan segar yang diimport secara langsung, seperti daging lembu, walaupun barangan ini mempunyai berat yang agak kecil dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP)," katanya.

Kekal terurus
Melangkah ke hadapan, Nor Shamsiah menjelaskan, impak ringgit yang lebih lemah kepada inflasi sebahagiannya diimbangi oleh harga komoditi global yang lebih rendah.
Di samping itu, katanya, impak kelemahan ringgit terhadap kedudukan luar Malaysia juga kekal terurus dan mencukupi untuk menampung sehingga 2.1 kali liabiliti luar mata wang asing.
Menurut beliau, risiko daripada hutang luar negeri mata wang asing sebahagian besarnya telah dibendung, memandangkan kira-kira 68% daripada hutang sama ada tertakluk kepada perlindungan berhemat atau mengikut syarat yang fleksibel.
Sebagai contoh, katanya, pada akhir September 2022, hutang luar negeri bank dalam negeri menyumbang hanya 7.7% daripada jumlah pembiayaan dan bank perlu mematuhi piawaian kehematan pengurusan kecairan.
"Di samping itu, aset cair mata wang asing yang cukup besar adalah mencukupi untuk menampung sehingga 2.6 kali ganda hutang luar negeri dalam mata wang asing yang berisiko lebih terdedah kepada pengeluaran dan risiko 'roll over'.
"Sebanyak 31.5% daripada hutang luar negeri korporat adalah dalam bentuk pinjaman dalam kumpulan, yang secara amnya mengikut terma yang fleksibel dan konsesi," jelas beliau.
Pada suku ketiga, nilai ringgit susut 4.9% berbanding dolar AS sejajar dengan mata wang serantau yang menurun nilai pada purata 5.5% (sejak awal tahun sehingga kini: -9.5%).
Hal itu mencerminkan dolar AS yang terus kukuh berikutan dasar monetari yang terus diperketat oleh Fed dan aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur disebabkan prospek pertumbuhan global yang sederhana.
Namun begitu, pertumbuhan dalam negeri yang kukuh mengurangkan lagi tekanan luaran terhadap
penurunan nilai ringgit.
Dalam dagangan pagi ini, ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS didorong permintaan rendah terhadap dolar AS susulan laporan bahawa Fed sedang beralih kepada kadar lebih perlahan dalam mengetatkan kitaran kadar faedahnya.
Pada 9 pagi tadi, mata wang tempatan menokok kepada RM4.6360/6405 berbanding dolar AS daripada penutupan petang semalam pada RM4.6950/6990. - DagangNews.com








