PPIM sokong gesaan untuk kerajaan tangguh pelaksanaan semakan surcaj tarif elektrik | DagangNews Skip to main content

PPIM sokong gesaan untuk kerajaan tangguh pelaksanaan semakan surcaj tarif elektrik

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan semakan surcaj tarif elektrik bagi pengguna industri voltan sederhana (MV) dan voltan tinggi (HV) yang berkuat kuasa 1 Januari 2023.

 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ia bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

 

"Rakan NGO PPIM, Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) mencadangkan kerajaan menangguhkan semakan surcaj itu kerana memikirkan nasib pengguna khususnya golongan berpendapatan sederhana atau M40," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Walaupun semakan itu dikatakan khusus untuk pengguna industri, Nadzim berpendapat, tanggungan kenaikan kos oleh peniaga memberi kesan kepada pengguna akhir kerana peniaga akan menaikkan harga.

 

PPIM memetik kenyataan Presiden Huazong, Tan Sri Goh Tian Chuan yang berkata, Huazong telah menerima banyak aduan daripada pengeluar tempatan yang mengadu semakan tarif surcaj itu menyebabkan kadar bayaran naik terlalu drastik dan tidak tertanggung oleh mereka.

 

Tian Chuan memberi contoh seorang pengilang di Selangor mengadu susulan semakan semula tarif kuasa psfs 20 sen/kWj, bil elektrik untuk 308,586 kWj pada bulan lepas adalah RM61,717 berbanding sebelum ini sebanyak 3.7 sen/kWj pada jumlah RM 11,417.68 untuk penggunaan yang sama.

 

“Dalam erti kata lain, dia kini terpaksa membayar tambahan sebanyak RM 50,299.52 atau bersamaan lima kali ganda," katanya.

 

Tambah Tian Chuan lagi banyak pengilang tempatan mengeluh bahawa kenaikan drastik dalam tarif tenaga sudah pasti akan memberi impak yang mendalam kepada setiap industri, tanpa mengira saiz.

 

Huazong berharap kerajaan akan lebih prihatin terhadap nasib mereka dan menangguhkan sementara pelaksanaan semakan semula tarif elektrik bagi pengguna industri voltan sederhana (MV) dan voltan tinggi (HV).

 

Pertubuhan itu juga menggesa kerajaan untuk melibatkan diri dengan wakil pengeluar dan perniagaan tempatan untuk memahami dengan lebih baik nasib mereka berhubung tarif kuasa yang disemak semula dan mencari penyelesaian untuk semua pihak yang berkenaan. – DagangNews.com