Pencerobohan kapal tentera China di Beting Patinggi Ali jelas memerlukan aset TLDM diperkuatkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pencerobohan kapal tentera China di Beting Patinggi Ali jelas memerlukan aset TLDM diperkuatkan

Kapal peronda APMM membayangi sebuah kapal peronda China yang belayar di perairan Beting Patinggi Ali.
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

INSIDEN pencerobohan kapal pengawal pantai China di sekitar perairan Beting Patinggi Ali, Sarawak minggu lalu menjadi tanda amaran baharu pada kesiapsiagaan keselamatan negara.

 

Seperti dijangka, Kementerian Pertahanan (Mindef) mengeluarkan kenyataan bahawa negara mempunyai aset yang mencukupi untuk mengawasi perairan tersebut.

 

Sudah semestinya kenyataan bukan provokasi diberi supaya situasi yang berlaku tidak bertukar keruh serta dapat dikawal menerusi mekanisme diplomatik.

 

Walaupun rondaan dan pengawasan di kawasan perairan ini dilakukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Maritim Malaysia (APMM), namun isu utama kita ialah kekurangan aset.

 

Armada Timur TLDM amat memerlukan aset-aset berkeupayaan tempur dalam menghadapi ancaman atau konflik di kawasan perairan.

 

Ini kerana keupayaan tempur aset-aset TLDM  berada dalam keadaan kritikal termasuk aset usang yang membelenggu angkatan laut tersebut.


 

tentera
Armada Timur TLDM hanya flotilla ronda yang tidak dilengkapi keupayaan tempur.

 


Aset-aset di bawah Armada Timur hanya flotilla ronda yang tidak dilengkapi keupayaan tempur seperti sistem persenjataan, radar pengawasan serta penjejak dan peluru berpandu.

 

Sedangkan situasi semasa khususnya di Laut China Selatan menuntut TLDM untuk mempunyai kelengkapan yang lebih baik sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

 

Dalam konteks keselamatan, pasukan pengawal pantai China bukanlah elemen ketenteraan sebaliknya, adalah pasukan penguat kuasa bertaraf separa militari.

 

Bagaimana pun, untuk menidakkan kehadiran kapal pengawal pantai China ini sebagai bukan ancaman merupakan satu tindakan lemah.

 

Kapal pengawal pantai China telah berkali-kali menceroboh perairan negara di wilayah perairan milik Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas itu.


 

tentera
Beting Patinggi Ali merupakan gugusan batu karang yang terletak di utara perairan Sarawak.

 


Beting Patinggi Ali  (Luconia Shoals) terletak pada kedudukan 84 batu nautika (155 kilometer) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram) dan dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif 
(ZEE) Malaysia.

 

Kawasan ZEE Malaysia ini berdasarkan peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

 

Di bawah peruntukan UNCLOS 1982, sesebuah negara berpantai seperti Malaysia berhak menuntut kawasan EEZ dan pelantar benua sehingga 200 batu nautika.

 

Nelayan tempatan juga bebas menjalankan aktiviti di kawasan EEZ.

 

Justeru, Beting Patinggi Ali bukan kawasan yang dipertikaikan atau wujud sebarang 'tuntutan bertindih' antara Malaysia dengan mana-mana negara.

 

Cuma, Laut China Selatan menjadi konflik apabila China mendakwa memiliki 90 peratus wilayah perairan tersebut, dalam lingkungan kawasan ‘Sembilan Garis Putus' yang digagaskannya.


 

tentera
Kita alu-alukan pelancong China ke Malaysia, bukan bala tentera China.

 


Selain Malaysia dan Indonesia, Filipina, Vietnam, Kamboja serta Thailand juga turut terletak dalam wilayah yang dituntut China itu.

 

Dengan perubahan lanskap ancaman maritim semasa dan campurtangan kuasa besar di Laut China Selatan, TLDM sangat memerlukan aset-aset berkeupayaan tempur,

 

Sebab itu kerajaan perlu segera memuktamadkan rancangan perolehan kapal-kapal perang baharu sama ada jenis frigate, kapal korvet atau kapal misi pesisir (LMS).

 

Apa pun istilah atau spesifikasi kapal tersebut, yang penting ialah pembelian ini hendaklah diputuskan sekarang agar kapal-kapal ini dapat dioperasikan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

 

Pada masa sama, perolehan kapal perang baharu ini hendaklah dilihat sebagai program berbeza dengan pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang masih dibelenggu isu kelewatan.


 

tentera
Kelewatan menyiapkan tiga kapal OPV APMM menyebabkan ia tidak dapat dioperasikan di kawasan Beting Patinggi Ali.

 


Kerajaan khususnya Mindef tidak wajar terlalu bergantung dengan kapal LCS yang dijanji hendak disiapkan dalam tempoh dua tahun lagi kerana sehingga kini belum ada jaminan bila kapal berkenaan siap.

 

Adalah sesuatu yang sangat melegakan jika sekurang-kurangya dua daripada enam LCS ini dapat dibina dan dioperasikan oleh TLDM sepertimana tempoh yang dijanjikan.

 

Dalam hal ini sebenarnya tiada masa yang paling tepat untuk kerajaan bersetuju dengan perolehan kapal-kapal perang baharu kerana lebih lama keputusan ditangguh ia akan melebarkan lagi kemampuan pertahanan maritim negara.

 

Ini kerana TLDM telah meletakkan perolehan LMS Batch 2 sebagai perolehan paling kritikal dan penting melalui Rolling Plan 3 Tahun 2023 iaitu tahun ini.

 

TLDM merancang untuk mendapatkan lapan buah LMS Batch 2 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM6 bilion menerusi dua fasa pembinaan iaitu tiga dan lima buah kapal.

 

Perolehan tiga kapal pertama ini dijangka memerlukan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.

 

Pada atas kertas, kos ini sebenarnya kecil berbanding dengan keperluan yang mendesak dan kerajaan dilihat mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi itu melunaskan perkara tersebut.

 

Kos RM2.4 bilion untuk tiga kapal LMS Batch 2 juga adalah tidak seberapa dengan nilai kerugian ditanggung negara akibat rompakan hasil laut yang dianggarkan sebanyak RM6 bilion setahun.


 

tentera
Kapal TLDM dikategorikan usang baik dari segi usia binaan hinggalah teknologi maritim.

 


Pencerobohan nelayan asing yang menjarah hasil marin ini menyebabkan negara menanggung kerugian besar yang sebenarnya merupakan isu nasional.

 

Tanpa kapal-kapal perang baharu, sukar untuk kita mempunyai armada yang kuat untuk memastikan sumber kekayaan marin khususnya wilayah ZEE negara bebas pencerobohan. - DagangNews.com