Nova MSC, Theta Edge bekerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan, sektor awam, penyelesaian AI di Malaysia dan ASEAN | DagangNews Skip to main content

Nova MSC, Theta Edge bekerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan, sektor awam, penyelesaian AI di Malaysia dan ASEAN

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Nova MSC Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Theta Edge Berhad bagi bekerjasama dalam menjalankan aktiviti pemasaran serta promosi penjagaan kesihatan, sektor awam dan penyelesaian dan produk kecerdasan buatan (AI) di Malaysia dan negara ASEAN lain.

 

Nova MSC akan memainkan peranan sebagai rakan teknologi kepada Theta, bersama-sama menilai atau membuat keputusan penyelesaian, seni bina, kesesuaian komponen teknikal dan saling kendali dengan sistem pihak ketiga atau infrastruktur IT sedia ada.

 

Sementara itu, Theta akan membangunkan pelan perniagaan yang boleh diterima bersama untuk produk di Malaysia dan negara ASEAN lain bersama dengan rancangan pemasaran serta komersial dengan garis masa penghantaran.

 

Selain itu, Nova MSC juga akan menerajui jualan teknikal, pra jualan dan aktiviti jualan untuk menyokong Theta tetapi tidak terhad kepada latihan pengguna akhir, bantuan teknikal dan perkhidmatan sokongan apabila projek berjaya dianugerahkan.

 

Peranan dan tanggungjawab tambahan Theta termasuk menyediakan kepakaran untuk membimbing Nova MSC memahami keperluan untuk meletakkan produk dan menerajui pembangunan perniagaan, pemasaran dan promosi produk di Malaysia dan negara ASEAN lain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nova MSC, Lai Teik Kin percaya, kerjasama itu akan membantu menyediakan situasi menang-menang untuk kedua-dua syarikat dan membantu kumpulan itu dalam mengembangkan perniagaan dalam penjagaan kesihatan, sektor awam dan perniagaan AI.

 

Beliau berkata, keutamaan pihaknya adalah membina kerjasama antara syarikat kerana percaya mereka boleh memanfaatkan kekuatan sedia ada untuk mengembangkan perniagaan.

 

"Kami yakin perkongsian strategik jangka panjang dan kerjasama dengan Theta akan meletakkan kami pada laluan yang dipercepatkan kepada pertumbuhan dan pengembangan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge Berhad, Nuraslina Zainal Abidin berkata, pihaknya positif  bahawa kerjasama itu menghimpunkan kepakaran masing-masing untuk mengembangkan penawarannya dalam transformasi digital dan teknologi.

 

"Kerjasama itu adalah tepat pada masanya apabila kita melangkah ke zaman teknologi pantas, dimensi baharu yang akan membuka jalan kepada transformasi digital merentas setiap industri dan pasaran," katanya.

 

Theta mempunyai kepakaran dalam dua industri utama iaitu teknologi maklumat, tenaga hijau, penjagaan kesihatan dan penyelesaian teknologi selain daripada industri Kejuruteraan Telekomunikasi. - DagangNews.com