MYNIC bimbing 1,000 usahawan sektor makanan tingkatkan pengetahuan premis digital | DagangNews Skip to main content

MYNIC bimbing 1,000 usahawan sektor makanan tingkatkan pengetahuan premis digital

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - MYNIC Bhd melatih seramai 1,000 usahawan sektor makanan bagi meningkatkan pengetahuan premis digital mereka menerusi program Webinar Kesedaran Transformasi Digital dengan kerjasama pelbagai agensi.

 

Menyedari pentingnya peranan usahawan dalam memastikan industri perusahaan makanan sentiasa mampan, MYNIC bekerjasama dengan agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pahang Go dan Pahang Corporate Management Service.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, inisiatif tersebut memupuk kesedaran dalam kalangan usahawan tentang pentingnya penjenamaan digital dan bagaimana nama domain boleh menjadi aset digital yang berharga.

 

Katanya, hasil pemerhatian dan pemantauan MYNIC di bawah program Komuniti.MY mendapati, latihan pendigitalan itu berjaya memberi impak yang ketara dan pencapaian memberangsangkan.

 

"Ia bukan sahaja membantu peningkatan pendapatan perniagaan yang ketara, tetapi juga berjaya membawa perniagaan mereka ke satu peringkat lebih baik dan sekali gus mampu bersaing dalam pasaran ekonomi digital lebih kompetitif.

 

"Komuniti .MY diilhamkan agar usahawan dapat berkumpul di bawah satu payung dan berkongsi pengalaman, pandangan serta menimba ilmu baru melalui seliaan jurulatih bertauliah dari MYNIC," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, para peniaga dan usahawan tidak ketinggalan mempromosikan produk mereka secara fizikal di Bazar Ramadan dan secara maya di platform media sosial dan e-dagang. 

 

 

mynic

 

 

mynic

 

 

Antara produk yang sering mendapat permintaan yang tinggi menjelang Syawal ialah produk berasaskan makanan seperti biskut raya, daging dendeng, ketupat dan pelbagai juadah tradisional lain.

 

Nurul Hidayah yang juga usahawan bimbingan MYNIC turut berkongsi bagaimana dia mempromosikan produk biskut melalui premis digital, hidayahcookies.com.my.

 

 

mynic

 

 

"Saya menjadikan laman web saya sebagai sumber maklumat utama mengenai produk. Jadi, apabila orang nak tahu lebih lanjut tentang Hidayah Cookies, saya akan sarankan mereka untuk layari laman web saya," katanya.

 

Sepasang suami isteri, Taufiq dan Fatin Amira juga tidak mahu ketinggalan mempromosi dan menjual rendang dendeng di bawah jenama Dapur Kak Manja.

 

 

mynic

 

 

"Sejak mempunyai premis digital sendiri, pelanggan mula rasa lebih yakin dengan Dapur Kak Manja. Pembelian produk lebih sistematik dan pengurusan syarikat saya lebih teratur," katanya. - DagangNews.com