KUALA LUMPUR 16 Jan - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menafikan dakwaan wujudnya birokrasi dalam pembaharuan lesen peniaga buah kelapa sawit (DF) adalah tidak tepat kerana kelewatan disebabkan kegagalan pemohon memenuhi keperluan yang ditetapkan.
MPOB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memetik aduan berkaitan kelewatan pembaharuan lesen yang mana ia adalah berkaitan dengan keperluan syarikat untuk mengemukakan maklumat dan dokumen terkini bagi proses permohonan pembaharuan lesen.
Menurutnya, keperluan dokumen tersebut penting bagi memastikan kesahihan permohonan yang dikemukakan.
Katanya, proses pembaharuan lesen boleh dibuat dengan segera sekiranya tiada sebarang perubahan pada entiti perniagaan dan pemilikan premis yang dilesenkan.
"Sekiranya terdapat pindaan, pemohon akan dimaklumkan dan diberi tempoh selama 14 hari bekerja untuk mengemukakan dokumen dari tarikh permohonan diterima oleh MPOB.
"Kegagalan pemohon mengemukakan dokumen yang diperlukan menyebabkan pembaharuan lesen lewat diproses atau ditutup.
"Semua permohonan lesen MPOB dikehendaki melalui prosedur operasi standard (SOP) serta tertakluk kepada kriteria lesen dan polisi permohonan lesen yang telah ditetapkan oleh lembaga bagi tujuan mengawalselia industri kelapa sawit secara sihat, sempurna dan teratur.
"Penambahbaikan kriteria dan syarat pelesenan MPOB adalah sejajar dengan perkembangan industri kelapa sawit yang dinamik dan memastikan berdaya saing, berkembang dengan teratur.
Terdahulu, MPOB mengulas laporan Sin Chew Daily pada 11 Januari 2023 mengenai dakwaan berhubung syarat pengeluaran lesen peniaga buah kelapa sawit.
Menurut kenyataan itu, pemegang lesen DF disyaratkan untuk menyediakan jambatan timbang/pusat pengumpulan.
Katanya, syarat ini ditetapkan sejak tahun 2005 dan telah ditambah baik melalui Pekeliling Penguatkuasaan (Pelesenan) MPOB Pk(EL)MPOB1/2017 pada 1 Jun 2017 iaitu dengan memberi kelonggaran kepada pemegang lesen DF untuk menyiapkan pembinaan pusat timbang sehingga 6 bulan dari tarikh kelulusan diberikan.
"Merujuk kepada dakwaan pengadu berkaitan sesi pendengaran pada 7 Disember 2022, beberapa DF (termasuk dua syarikat milik pengadu) telah dipanggil bagi memberi penjelasan akan kegagalan syarikat mematuhi mana-mana peruntukan akta atau mana-mana pekeliling penguatkuasaan MPOB.
"Kedua-dua syarikat diberi kelulusan lesen pada tahun 2006 dan telah menjalankan urusniaga buah kelapa sawit di tempat selain dari premis yang dilesenkan," katanya.
Tambahnya, ia adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 22(1), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.
Pengadu sedia maklum bahawa premis yang digunakan untuk urusniaga adalah tidak sesuai (rumah kediaman) dan tidak mempunyai pusat timbang/pusat pengumpulan, katanya.
Sementara itu, sejajar dengan era pendigitalan industri kelapa sawit, MPOB sedang membangunkan sistem SIMS (Sawit Intelligence Management System) untuk kebolehkesanan keluaran kelapa sawit yang diurus niagakan di sepanjang rantaian bekalan.
MPOB berkata, ia juga dapat menyokong kebolehkesanan minyak sawit yang memiliki Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Katanya, antara elemen penting dalam pembangunan SIMS ini adalah perisian timbang yang digunakan sebagai langkah untuk menentukan sumber bekalan secara fizikal selain membanteras isu tipu timbang.
"Keperluan ini adalah penting kerana ia dapat melindungi kepentingan pengeluar buah kelapa sawit terutamanya para pekebun kecil," katanya. - DagangNews.com








