MITI lulus permohonan Tesla import bateri kenderaan elektrik ke Malaysia - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

MITI lulus permohonan Tesla import bateri kenderaan elektrik ke Malaysia - Tengku Zafrul

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Bateri Kenderaan Elektrik (BEV) ke Malaysia. 

 

Dalam merealisasikan objektif ini, Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger.

 

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kehadiran Tesla di Malaysia dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen BEV dan
meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem Tesla di peringkat domestik serta global.

 

Katanya, pihaknya gembira dengan keputusan Tesla untuk turut serta dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. 

 

"Ini membuktikan keyakinan Tesla terhadap asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia. 

 

"Walaupun telah banyak jenama global utama memilih untuk melabur di Malaysia, MITI dan agensinya akan terus meningkatkan usaha dalam meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, sambil terus menaikkan profil Malaysia sebagai negara pro-perdagangan, pro-industri dan pro-pelaburan. 

 

"Kami juga akan memanfaatkan ekosistem Elektrik & Elektronik secara strategik bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi teknologi berkaitan mobiliti elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

zafrul
                                                 Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

Kemasukan Tesla telah dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif BEV Global Leaders bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV. 

 

Di samping itu, inisiatif ini bertujuan untuk mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia. TESLA ialah pemohon pertama inisiatif oleh MITI ini. - DagangNews.com