Mercedes-Benz S600 dibeli sebelum pentadbiran Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Mercedes-Benz S600 dibeli sebelum pentadbiran Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 28 Nov - Keputusan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak Mercedes-Benz S600 sebagai kenderaan rasmi (import) yang baharu bukan perkara luar biasa.

 

Bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik kepada Perdana Menteri kesembilan, Datuk Ruhaidini Abd Kadir berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuk beliau.

 

Menurut beliau, sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ismail Sabri lebih selesa menggunakan kenderaan jenis MPV yang telah digunakan oleh pentadbiran terdahulu.

 

"Bahkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubahsuai pesawat khas (Perdana 1) bagi kegunaan rasmi Perdana Menteri.

 

"Ismail Sabri juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana, meskipun kediaman rasmi Perdana Menteri telah indah diubah suai," katanya dalam hantaran di laman facebook beliau di sini hari ini.

 

Anwar menarik perhatian umum bila mendedahkan bahawa beliau menolak penggunaan kereta mewah Mercedes-Benz S600 yang telah dibeli oleh Jabatan Perdana Menteri untuk kegunaan rasmi.

 

Difahamkan kereta mewah tersebut telah dibeli pada harga RM1.5 juta oleh kerajaan sebelum pentadbiran Ismail Sabri.

 

 

seri perdana

 

 

Kediaman rasmi Perdana Menteri iaitu Seri Perdana juga telah melalui proses penambahbaikan ketika era pentadbiran perdana menteri terdahalu dengan kos sebanyak RM30 juta pada Mac 2020. - DagangNews.com