Memalukan! Malaysia kini di bawah Namibia, Rwanda dalam Indeks Persepsi Rasuah global | DagangNews Skip to main content

Memalukan! Malaysia kini di bawah Namibia, Rwanda dalam Indeks Persepsi Rasuah global

Dr Muhammad Mohan (kiri) pada sidang media mengumumkan dapatan terbaharu Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di Kuala Lumpur pada 31 Januari 2023.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 31 Jan - Malaysia meneruskan penurunannya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diukur oleh badan pemantau global Transparency International (TI), hanya memperoleh 47 mata daripada 100 mata, sekali gus menjadi prestasi terburuk negara ini dalam sedekad.

 

Pengerusi TI-Malaysia, Dr Muhammad Mohan berkata, kedudukan Malaysia meningkat satu tangga kepada 61 daripada 108 negara berbanding 62 sebelum ini, tetapi mata negara ini terus jatuh selepas mencapai ketinggian 53 mata pada 2019.

 

“Ia bukan petanda yang baik kerana ia menunjukkan bahawa kita sedang menuju ke arah yang salah. Kita telah merosot enam mata dalam tempoh tiga tahun yang lalu yang secara statistiknya ketara. Kita berada di bawah negara seperti Namibia dan Rwanda.

 

"Kita perlu mengubah arah aliran menurun ini," katanya kepada pemberita ketika membentangkan laporan CPI Malaysia 2022 di sini.

 

Muhammad berkata antara sembilan tinjauan yang menentukan skor CPI, Malaysia telah mencatat penurunan ketara dalam tinjauan pendapat eksekutif Forum Ekonomi Dunia 2022 daripada 54 kepada 47 mata, manakala menurun daripada 48 kepada 45 mata dalam Tinjauan Pakar Indeks Kedaulatan Undang-undang Projek Keadilan Dunia untuk tempoh yang sama.

 

Beliau menyenaraikan sebab skor rendah, termasuk kekurangan kemahuan politik dalam memerangi rasuah institusi dalam kerajaan, pakej rangsangan pandemik COVID-19 yang besar yang dilaksanakan tanpa perbahasan dan penelitian parlimen, melantik ahli politik tidak berkelayakan untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan dan keengganan untuk tegas menangani lebihan kos seperti projek Littoral Combat Ship (LCS).


 

LCS

 


Beliau mengetengahkan komen Kementerian Pertahanan yang baru dilantik Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta orang ramai agar `move on' daripada skandal LCS.

 

"Jika anda tidak menyiasat atau mengeluarkan laporan dan kertas putih, maka apa dan bila kita akan belajar? Dengan mengatakan mari kita teruskan, saya rasa ia tidak betul...skor tidak akan bertambah baik dan tahun depan kita akan bercakap tentang perkara ini lagi.

 

"Kita memerlukan kapal itu tetapi tolong jangan abaikan atau ia akan berlaku lagi," katanya.

 

Bagaimanapun, Muhammad menunjukkan beberapa perkembangan positif seperti memorandum persefahaman antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan pada 2022 yang membuka jalan kepada beberapa reformasi institusi.

 

irsyad

 

Beliau juga memuji komitmen kerajaan baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tadbir urus yang baik, memerangi rasuah dan kebebasan kehakiman, pembidaan kompetitif mandatori untuk kontrak perolehan dan kajian semula projek bernilai tinggi tertentu.

 

“Anwar menangani isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dan memanggil menteri untuk bertindak ke atas laporan ketirisan dan rasuah di kementerian mereka. Ia bagus tetapi ini asas, saya sangat terkejut menteri-menteri sebelum ini langsung tidak melihat laporan itu,” katanya.

 

Denmark menduduki tempat pertama dengan markah 90, diikuti New Zealand dan Finland dengan 87. Negara jiran Singapura menduduki tempat kelima.

 

Tiga daripada 10 negara Asia-Pasifik mencatat lebih rendah daripada 50 mata, dengan Malaysia salah satu daripadanya. — DagangNews.com